[VIDEO] Polis buru 3 suspek pecah masuk stesen minyak guna lastik, kuku kambing di Keningau


  • 112
  • Isnin, 03 Jun 2024

Kaca stesen minyak berkenaan dipecahkan salah seorang suspek yang menggunakan lastik ketika kejadian.

POLIS memburu tiga lelaki yang terlibat dalam satu kejadian memecah masuk sebuah stesen minyak di Pekan Sook, Keningau, Sabah.

Kejadian berlaku ketika stesen berkenaan tidak beroperasi, iaitu iaitu kira-kira pada pukul 12.30 tengah malam Isnin.

Perbuatan suspek itu sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) milik premis terbabit.

BACA LAGI: 11 kali pecah bengkel, restoran penduduk Kepong, 'Geng Ruben' akhirnya tumpas

BACA LAGI: Rumah Khuzaimi Piee dipecah masuk, pasport dan Ysuku antara dirembat penjenayah

Difahamkan, akibat kejadian terbabit, stesen minyak itu mengalami kerugian lebih RM4,500 membabitkan kehilangan wang tunai, rokok jualan dan telefon bimbit.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, berdasarkan rakaman CCTV, kes tersebut melibatkan seramai tiga suspek yang menaiki sebuah kereta Perodua Bezza.

“Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan adalah palsu dan didaftarkan atas kenderaan lain. Ketika kejadian, ketiga-tiga suspek dirakam memakai jaket, berseluar panjang dan sarung tangan serta pelitup muka,” katanya.

Yampil berkata, siasatan lanjut mendapati ketika kejadian, senjata yang diguna adalah lastik dan kuku kambing.

“Salah seorang suspek melastik pintu kaca hadapan kedai sehingga pecah sebelum dua suspek masuk ke dalam kedai untuk mencuri.

“Usaha mengesan ketiga-tiga suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah masuk premis,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram