MULIANYA hati seorang penghantar barangan yang sanggup meredah perjalanan jauh demi memenuhi keinginan pelanggan meskipun sama sekali tidak mengenali mereka.
Kebiasaannya, penghantar barangan terdiri daripada golongan lelaki yang pastinya memiliki tenaga yang cukup untuk membawa barang-barangan berat yang dipesan oleh pelanggan.
Tetapi, golongan wanita tidak terkecuali menceburi pekerjaan tersebut susulan keperluan mencari rezeki yang halal pada masa kini.
Buktinya, wanita asal Sabah, Wilmie William, 38, gigih menjadikan pekerjaannya sebagai penghantar makanan untuk memperoleh pendapatan harian.
Setiap penghantar barangan pastinya mempunyai cabaran tersendiri disebalik kemampuan menghantar sesuatu muatan dengan selamat ke tangan pelanggan.
BACA LAGI: Ziana Zain masuk gim, berlari 'bina muscle' demi gegarkan pentas Mega Star Arena pada 25 Mei depan
Bercakap soal itu, Wilmie berkata, banyak risiko menjadi penghantar makanan yang pernah dialaminya.
Apatah lagi, dia sering bergerak solo untuk menghantar barangan dengan menggunakan kereta Proton Vios miliknya.
Sanggup meredah bahaya di perkampungan kecil, tayar keretanya pernah tersangkut ke dalam lumpur ketika berada di Kampung Membulu, Keningau, Sabah.
Pada ketika itu, dia bersyukur apabila terdapat penduduk kampung yang menggunakan kereta jenis Hilux membantu menarik keluar keretanya daripada jalan berkenaan.
BACA LAGI: Kes histeria di asrama SMK Batu Kikir, 165 pelajar diberi cuti
Sabahan Runner Komuniti terdiri daripada penghantar barangan di sekitar Sabah.
Tidak hanya pengalaman pahit, dia pernah merasai detik indah apabila seseorang wanita memintanya untuk menghantar mangga ke perkampungan Kemabong, Sabah yang jaraknya lebih 70 kilometer.
"Waktu itu, ada perempuan ini dia mengidam mahu makan mangga. Terlalu mengidam sampaikan sanggup membayar sebanyak RM200 kepada saya yang tinggal di Keningau untuk menghantarkan buah berkenaan kepadanya di Kemabong.
"Mungkin dia sudah cari tetapi di perkampungannya tetapi mungkin belum ada musim buah itu, " katanya.
Perkhidmatan penghantaran barangan yang ditawarkannya dikira mengikut jarak kilometer daripada rumahnya di Keningau.
"Kalau 1 kilometer (km) saya caj RM2 untuk hantar barang, kalau barangan tak banyak saya tak kenakan wang tambahan.
"Tetapi kalau barangan terlalu banyak ada extra charge," katanya.
Antara barangan yang sering mendapat permintaan pelanggan untuk dihantar adalah seperti barangan dapur, kejutan hari jadi, makanan dan minuman.
Wilmie menghantar barangan pelanggan dengan menggunakan kereta Proton Vios.
Tidak hanya mendapat permintaan daripada penduduk di kampungnya, Wilmie juga mendapat tempat bagi penduduk di kawasan lain yang lebih jauh seperti Kota Kinabalu, Tuaran, Kampung Membulu dan banyak lagi.
Memandangkan dia seorang perempuan, pastinya pernah juga diganggu segelintir pelanggan lelaki yang memberi usikan manja untuk mencuri hatinya.
"Pernah juga ada lelaki ganggu, macam hantar mesej untuk mengorat, mengorat bila hantar barang tetapi kebiasannnya saya tidak layan.
"Tetapi saya bersyukur tak pernah lagi ada kes yang teruk-teruk jadi," katanya.
Menurutnya, sikap dan keperibadian dia yang mementingkan amanah merupakan salah satu sebab ramai pelanggan terpesona untuk mendapatkan perkhidmatannya.
Terdapat juga pelanggan yang menggunakan perkhidmatan Wilmie untuk membuat kejutan buat orang tersayang.
Wilmie juga beranggapan ramai pelanggan memang tercari-cari penghantar barangan wanita yang menyebabkan perkhidmatannya menerima sambutan yang hangat.
"Sebab saya perempuan, rata-rata pelanggan wanita suka bila ada runner wanita ini. Saya juga selalu pantas untuk membalas mesej seseorang jika ditanya pendapat mengenai sesuatu barangan," katanya.
Wilmie kini selesa dengan pekerjaannya kerana tidak memiliki masa yang tetap untuk bertugas.
"Kalau bekerja di pejabat ada syif, jadi kalau anak atau keluarga ada masalah apa-apa sukar untuk kita nak bergerak.
"Jadi apabila menjadi penghantar barangan, ada komuniti tersendiri iaitu Sabahan Runner Komuniti yang menyebabkan jika tidak dapat menghantar barangan ada runner lain yang boleh membantu," katanya.
Wilmie berkata, dia mulai menjadi penghantar makanan sejak 2020 susulan perniagaan makanan dan minumannnya terpaksa ditutup semasa Perintah Kawalan Pergerakan.
Sebelum ini, Wilmie menjual makanan seperti Kon Loh mi, air coklat dan air kopi di bazar selain di kantin hospital.
"Bila sudah tiada sambutan kerana itu yang saya buat runner," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram