HASRAT penduduk rumah panjang di Kampung Long Bangan Apoh, Baram dekat Miri, Sarawak untuk menyambut sambutan Hari Gawai yang akan disambut Sabtu ini tidak kesampaian apabila kediaman mereka duduki musnah terbakar pada Selasa.
Dalam kebakaran tersebut seramai 46 penduduk daripada 14 keluarga hanya tinggal sehelai sepinggang kerana semua harta benda mereka musnah terbakar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi, Maureen Sim Ah Lian dilaporkan berkata, kebakaran itu berlaku pukul 5 pagi Selasa.
BACA LAGI: [VIDEO] Elektrik putus tiba-tiba lepas mengaji, lebih 30 murid perempuan kena histeria
"Namun Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) pada hanya menerima maklumat itu pada pukul 9 pagi dan jarak balai terdekat terletak 248 kilometer dari lokasi kejadian.
"Walaupun kebakaran berada terlalu jauh di pedalaman, Maureen bersama tiga anggotanya berserta dua pegawai penyiasat kebakaran Zon 6, JBPM Sarawak bergerak ke lokasi untuk mengenal pasti kesahihan maklumat yang diterima," katanya pada Rabu.
Maureen berkata, mereka menempuh perjalanan lebih enam jam melalui jalan balak untuk sampai ke lokasi.
"Perjalanan bertambah sukar apabila jalan tanah merah itu licin akibat hujan, manakala ketika melalui tempat kering pula mereka berdepan masalah jalan berdebu yang menyebabkan jarak penglihatan terhad.
"Komunikasi juga sukar kerana tiada liputan telekomunikasi di lokasi kejadian.
“Bomba tiba di lokasi pukul 3.04 petang Selasa. Kebakaran membabitkan 14 unit kediaman manakala sebuah pikap Toyota Hilux dan sebuah motosikal jenis Honda Wave turut musnah,” katanya.
Tambah Maureen lagi, kesemua 46 mangsa termasuk seorang lelaki dewasa yang lumpuh, seorang wanita dewasa orang kelainan upaya (OKU) serta 12 kanak-kanak dapat menyelamatkan diri.
“Secara keseluruhan, kampung itu mempunyai 102 unit kediaman dan tindakan pantas penduduk melakukan pemadaman dapat menyelamatkan kebakaran daripada merebak.
"Siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan menilai anggaran kerugian yang dialami penduduk,” katanya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram