PIHAK sekolah khususnya golongan pendidik dituntut mencipta inovasi atau kaedah baharu dalam menaik taraf sistem pembelajaran terutamanya kepada pelajar tercicir yang lemah dalam subjek tertentu.
Sebelum ini, warga maya dikecohkan dengan trend dilakukan pelajar yang memberontak dan menyalahkan guru sebagai punca kegagalan mereka dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.
Trend yang diberi nama 'kami bukan malas' itu juga mula menjadi ikutan di media sosial apabila mereka meletakkan kesalahan sepenuhnya terhadap warga pendidik di sekolah.
BACA LAGI: Trend 'kami bukan malas', salahkan guru merisaukan
BACA LAGI: Tiada istilah SBP elit, tempoh pelantikan pengganti pengetua bergantung pelbagai faktor — KPM
Trend menyalahkan guru atas kegagalan di sekolah kian menjadi ikutan pelajar di laman sosial.
Menurut Pengerusi Majlis Profesor Universiti Utara Malaysia (MPUUM), Dr Rosna Awang Hashim, sikap tidak hormat kepada pendidik itu menunjukkan petanda tidak bagus dalam sistem pendidikan.
Rosna berkata, budaya di sekolah perlu diubah dan harus mempunyai pemimpin institusi yang berilmu.
"Perkara ini boleh diatasi tetapi pihak sekolah dan setiap guru perlu memainkan peranan dan ada usaha strategik untuk meraikan kepelbagaian pelajar.
"Di sekolah juga biasanya hanya raikan pelajar cemerlang akademik. Kenali bakat individu dan tetapkan jangkaan yang rasional untuk pelajar mengembangkan potensi mereka.
"Tetapi, tidak ramai guru-guru atau pemimpin sekolah yang menghargai pelajar dengan kelebihan lain seperti sukan," katanya kepada Majoriti.
Para guru perlu mempunyai usaha dan kreativiti tersendiri untuk menarik minat pelajar yang lemah dalam bidang akademik. — Gambar hiasan/Agensi
Katanya, pihak sekolah perlu melihat ekosistem yang memberi dan menimbulkan keyakinan serta penghargaan kepada pelajar.
Rosna bagaimanapun tidak menafikan bahawa tindakan pelajar yang mengikut trend berkenaan sememangnya tidak wajar dilakukan dan dicontohi individu lain.
Namun, beliau menyarankan agar guru-guru dapat mengambil iktibar dan mengambilnya daripada sudut positif untuk melakukan perubahan ke arah lebih baik.
Rosna berkata, sikap 'memilih bulu' dalam kalangan guru juga perlu dihapuskan lebih-lebih lagi ketika mengajar pelajar yang lemah dalam akademik.
"Justeru, inovasi bukan tertumpu kepada teknologi sahaja tetapi kaedah yang boleh menarik minat golongan pelajar ini untuk menimba ilmu," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram