Beri tumpuan kumpulan bermasalah, wujud semula ujian seperti PMR mampu atasi isu 10,000 pelajar keciciran SPM


  • Massa
  • Khamis, 30 Mei 2024

Seramai 11,713 calon memperoleh keputusan cemerlang, iaitu Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran pada 2023, meningkat berbanding 10,109 calon pada 2022.

PADA Isnin lalu, seramai 373, 525 calon yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2023 menerima keputusan peperiksaan masing-masing.

Daripada jumlah tersebut, seramai 11,713 calon memperoleh keputusan cemerlang, iaitu Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran pada 2023, meningkat berbanding 10,109 calon pada 2022.

Dalam pada itu, bilangan calon mendapat sekurang-kurangnya kepujian atau Gred C dalam semua mata pelajaran pada 2023 turut menunjukkan kenaikan iaitu seramai 83,112 calon, berbanding 75,322 calon pada 2022.

BACA LAGI: Penjimatan subsidi sahaja tidak cukup, perlu ada rombakan sistem percukaian — Pakar ekonomi

BACA LAGI: Malaysia tak cukup pakar pokok — PArM

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, keputusan itu juga menyaksikan keputusan SPM 2023 mencatatkan pencapaian lebih baik dengan Gred Purata Nasional (GPN) 4.60, berbanding 4.74 pada 2022.

Bagaimanapun, di sebalik pencapaian positif yang diperolehi itu, terdapat juga berita mengejutkan dan kurang enak yang didengar hasil daripada keputusan SPM pada tahun ini.

Ia selepas Azman dalam kenyataannya memaklumkan seramai 10,160 daripada 383,685 calon baharu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 tidak hadir menduduki peperiksaan itu.

Mengulas mengenai situasi itu, Azman berkata, jumlah ketidakhadiran itu perlu ditangani dan dikenal pasti puncanya supaya langkah intervensi dapat dilaksanakan.

Dalam pada itu, pensyarah yang juga Pakar Sosiologi Pendidikan dari Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seharusnya lebih serius dalam menangani perkara tersebut.

Beliau berkata, meskipun jumlah 10,000 itu dilihat secara peratusnya agak kecil iaitu hanya dua peratus berbanding keseluruhan calon SPM 2023, masalah itu perlu disifatkan sebagai suatu isu yang perlu diambil serius.

Tambahan pula menurutnya, ini merupakan tahun kedua KPM merekodkan bilangan keciciran SPM yang melebihi 10,000 dengan pada tahun lalu jumlah yang direkodkan adalah sebanyak 14,000.

Menyentuh mengenai punca berlakunya situasi tersebut, Anuar berkata, ia terbahagi kepada dua iaitu faktor peribadi dan juga kegagalan mengikuti pembelajaran di sekolah.

Untuk faktor peribadi yang lazimnya tidak boleh dielak, beliau berkata, ia antara lain disumbang oleh antaranya isu seperti kematian pelajar itu sendiri, masalah kesihatan serius dan perpindahan keluarga.

2719013

Seramai 395,870 calon menduduki peperiksaan SPM 2023.

Bagaimanapun, beliau berkata, sumbangan faktor peribadi terhadap jumlah keciciran itu dilihat sangat kecil berbanding punca kedua itu masalah pembelajaran dalam kalangan kumpulan tersebut.

"Misalnya ada dalam kalangan murid yang tidak hadir (ambil SPM) sebab mereka merasakan kalau mereka hadir pun mereka akan gagal. Jadi buat apa mereka nak hadir. Kalau kita lihat, biasanya mereka mereka ini datang daripada kumpulan murid di kelas hujung di sesebuah sekolah.

"Maksudnya mereka ini secara latar belakangnya mempunyai kemahiran membaca menulis dan mengira yang lemah. Jadi kalau kita lihat dari segi rekod pencapaian akademik mereka daripada Tingkatan Satu sampai Tiga, mungkin prestasinya yang rendah.

"Bila dah peringkat menengah pun bergelut kuasai 3M, isu kesukaran untuk belajar itu akan berlanjutan sebab di peringkat ini untuk kemahiran mengira matematik pun dah makin sukar.

"Kemudian bila sampai SPM, mereka ambil sikap kalau sepanjang belajar 4 hingga 5 tahun pun gagal, jadi apa harapan mereka untuk SPM. Jadi mereka ambil keputusan untuk tak ambil SPM," ujar Anuar.

Sehubungan itu, beliau menggariskan tiga langkah intervensi perlu diambil oleh KPM untuk menangani masalah tersebut.

1. Wujudkan sistem pemantauan prestasi pembelajaran pelajar

Anuar berkata, antara langkah penting perlu dilaksanakan adalah mewujudkan mekanisme penilaian penguasaan pelajar yang lebih berkesan khususnya dalam mengenal pasti murid lemah dalam pembelajaran dan memerlukan bantuan.

Ujarnya, sistem Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang dijalankan ketika ini termasuk di peringkat sekolah menengah dilihat tidak begitu membantu melakukan penilaian terhadap prestasi pelajar terutamanya yang berdepan isu pembelajaran.

anuar-new-1170x1437

Dr Anuar Ahmad

"Hari ini bila Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) pun tiada, kawalan dan penilaian itu tidak ada. Jadi anak kita dari sekolah rendah, dia belajar sampai tiba ambil SPM masa Tingkatan Lima.

"Jadi tahun-tahun sebelum itu tidak ada satu pemantauan atau penilaian untuk menunjukkan prestasi semasa pelajar. Kalau kita tahu dia lemah masa Tingkatan Tiga, jadi waktu sekolah boleh bantu masa Tingkatan Empat dan Lima.

"Sekarang ini tidak ada mekanisme itu, saya tak lihat PBD ini dapat membantu selesaikan isu ini. PBD ini dia mungkin banyak rekod, tetapi kita tak pernah dengar apakah tindakan nak selesaikan (isu pembelajaran dihadapi pelajar)" ujarnya.

Anuar menambah, mekanisme yang diwujudkan itu tidak semestinya serupa seperti UPSR dan PMR.

"Cumanya mungkin contoh mesti ada ujian akhir tahun lebih baik. Yang penting itu semua pihak termasuk ibu bapa dan guru tahu kumpulan murid yang berisiko ni dan mereka boleh bantu," katanya.

2. KPM perlu perbetulkan fokus

Dalam pada itu, Anuar berkata, sistem pendidikan di Malaysia ketika ini dilihat terlalu memberikan tumpuan terhadap kumpulan pelajar cemerlang.

Ujarnya, pendekatan disifatkan tidak begitu selari terhadap matlamat sebenar pendidikan awam.

2719851

Program TVET yang ditawarkan di institusi tersebut boleh bantu menawarkan latihan kemahiran sehingga ke peringkat tertinggi.

"Sebenarnya kalau kita faham tentang pendidikan awam, kumpulan sepatutnya diberikan perhatian oleh KPM adalah kumpulan yang terbawah. Kumpulan yang cemerlang itu memang dia akan terus cemerlang sebab dia dah ada sistem.

"Tapi pelajar yang ketinggalan dan ada masalah pembelajaran dan sikap termasuk ponteng sekolah, ada masalah disiplin, inilah kumpulan yang sepatutnya KPM kena bagi perhatian dan bajet lebih untuk bantu.

"Sebabnya golongan ini biasanya hadapi banyak masalah termasuk isu keluarga dan kemiskinan," ujarnya.

3. Sediakan alternatif pengajian kemahiran

Sementara itu, bagi menangani kumpulan pelajar yang tercicir daripada mengambil SPM, Anuar berkata, golongan tersebut patut diberikan alternatif termasuk mendapat peluang untuk mengikuti kursus kemahiran yang ditawarkan di dalam negara.

Disebabkan itu, beliau berkata, tindakan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mempelawa pelajar tidak menduduki SPM bagi memohon latihan di GiatMARA perlu disokong.

"Mereka ini mesti dimasukkan pusat pengajian yang menyediakan mereka ilmu kemahiran. Sebab kalau ilmu akademik mungkin mereka dah tak lepas.

"Jadi mereka ini harus dimasukkan ke aliran seperti Pendidikan Vokasional dan Teknik (TVET) supaya mereka boleh gunakan kemahiran yang lebih praktikal untuk masa depan mereka," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram