[VIDEO] Khuatir keselamatan keluarga terancam, anak perjelas isu Axia TBY ‘bergoyang’ di parkir masjid


  • Tular
  • Khamis, 30 Mei 2024

Tangkap layar pasangan kekasih ditangkap dipercayai melakukan perbuatan tidak senonoh di ruangan parkir masjid..

DIANCAM bakar dan bunuh oleh warga maya, seorang lelaki tampil membuat penjelasan berhubung rakaman tular kenderaan jenis Perodua Axia yang dikatakan terlibat dengan isu keruntuhan moral di sebuah kawasan parkir masjid pada Khamis.

Kejadian berlaku ketika dua individu dipercayai pasangan kekasih dirakam melakukan kegiatan tidak senonoh di dalam kereta tersebut.

Disedari seorang lelaki, pasangan terbabit kemudiannya diserbu dan diarahkan membuka tingkap bagi membongkar kelakuan dilakukan.

Mengingkari arahan itu, pemandu kereta terbabit kemudiannya terus memecut dan beredar dari lokasi berkenaan.

Meraih kecaman di laman media sejak Khamis, beberapa komen netizen merancang untuk melakukan serangan ke atas pemilik dan kereta terbabit.

Gusar dengan situasi itu, Hilmi Hamdan yang merupakan salah seorang daripada pemilik kenderaan itu berkongsi kisah sebenar di sebalik insiden tular tersebut.

"Saya sebagai individu yang berkaitan dengan video ini, ingin memberikan penjelasan untuk membersihkan nama keluarga saya.

"Saya harap sahabat-sahabat semua dapat membantu saya dengan menyebarkan penjelasan ini seluas mungkin.

"Axia TBY 3064 adalah kereta milik ayah saya, seorang pesara guru dan kini seorang imam surau. Kereta Axia itu digunakan oleh adik bongsu saya yang sedang belajar di Kuala Lumpur.

"Adik saya merupakan lepasan tahfiz, dan di sana beliau juga menjadi imam dan guru mengaji. Kami insya-ALLAH datang dari keluarga yang baik, bukan pembuat maksiat sebagaimana ditularkan.

Menggesa agar orang ramai berhenti mengecam dan menfitnah keluarganya, Hilmi difahamkan sedang dalam usaha untuk berunding dengan pelaku kejadian tersebut.

Namun, setakat ini belum ada sebarang laporan polis dibuat berhubung isu itu dan orang ramai dinasihati untuk tidak membuat spekulasi berkaitan hal berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram