ISU penyelenggaraan jalan sememangnya bukan pertama kali dibangkitkan oleh rakyat Malaysia.
Masalah itu dilihat semakin membimbangkan apabila terjadinya kejadian atau insiden tidak diingini berlaku seperti kemalangan.
Sama seperti yang terjadi pada seorang lelaki dipercayai pemandu motosikal cedera selepas terlibat dalam kemalangan di kawasan jalan masuk Taman Semabok Perdana, Melaka baru-baru ini.
BACA LAGI: [VIDEO] Jalan rosak teruk, penduduk seru nama Lando Brotherhood buat sesuatu
Keadaan bonggol jalan yang tidak mempunyai garisan berwarna untuk memberi amaran had laju kepada pengguna. — Facebook/MelakaExplorer
Menerusi hantaran dikongsikan pengguna Facebook MelakaExplorer pada Khamis, mangsa dikatakan terlanggar bonggol yang tidak mempunyai garisan berwarna di lokasi kejadian.
"Kawan kemalangan tak perasan bonggol. Garisan dah pudar. Papan tanda pun kadang tak perasan terhalang dengan pokok," tulisnya.
Dakwanya, ia bukan kejadian pertama malah ada penduduk lain juga yang pernah mengalami nasib sama disebabkan keadaan bonggol itu.
"Orang sini cakap pun dah banyak dah kereta, motor langgar bonggol tu tak perasan sebab gelap dan garisan tak nampak," menurutnya.
Berikutan kejadian itu, rata-rata warga maya meluahkan rasa gusar sehingga ada yang menyeru nama aktivis sosial, Lando Zawawi untuk yang sering memperjuangkan masalah jalan sebelum ini.
"Memang betul pun dah pudar sangat. Agaknya tunggu berlaku apa-apa baru nak bertindak kot," luah Jamilah Miela.
"Abang Lando Zawawi (Brotherhood Malaysia)," tulis Azreen Shazreen.
Untuk rekod, Lando pernah membantu menyelesaikan masalah-masalah jalan rosak termasuk jalan berlubang di kawasan perumahan dan lebuh raya.
Keadaan bonggol yang sudah dilengkapi dengan garisan kuning selepas kejadian itu. — Facebook/Mohd Noor
Hantaran itu bagaimanapun mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abd Halem yang kemudiannya mengambil tindakan wajar terhadap masalah berkenaan.
Mohd Noor berkata, bonggol tersebut sebelum ini dilakukan oleh pihak ketiga kerana tiada rekod dalam agensi terlibat selepas semakan dibuat.
"Kemalangan dah berlaku dan tindakan segera perlu diambil. Tak perlu tuding jari mana-mana.
"Saya selalu sahaja lalu sini tapi tak perasan masalah yang ada. Kecuaian saya. Saya sesali dengan apa yang berlaku dan mohon kemaafan pada mangsa," tulisnya dalam satu hantaran Facebook pada Jumaat.
Kini penduduk kawasan tersebut juga boleh menarik nafas lega apabila bonggol tersebut sudah diwarnakan dengan cat kuning supaya dapat membantu memberi amaran kepada pengguna terutama pada waktu malam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram