Status kandungan kontena dipercayai milik syarikat Israel masih tak diketahui, kerajaan negeri Johor tunggu laporan penuh


  • Primer
  • Ahad, 02 Jun 2024

Sebuah pelabuhan di Iskandar Puteri didakwa menerima masuk kontena-kontena dari sebuah syarikat perkapalan Israel. — Gambar hiasan

KERAJAAN negeri Johor sedang menunggu laporan penuh beberapa pihak termasuk Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) berhubung dakwaan kehadiran kontena milik syarikat perkapalan Israel, ZIM, di sebuah pelabuhan di Iskandar Puteri.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, pendirian kerajaan negeri sejajar dengan pendirian kerajaan Persekutuan yang tidak membenarkan syarikat perkapalan Israel berlabuh di pelabuhan negara.

Beliau memaklumkan pihaknya akan memantau dengan rapi perkembangan dan laporan pihak berkaitan berhubung dakwaan berkenaan.

BACA LAGI: Nasib 7 wakil rakyat BERSATU terjawab, PRK bakal jadi penentu masa depan Umno, kerjasama Kerajaan Perpaduan

BACA LAGI: Azmin dan Hamzah belum cukup syarat, tiada keperluan tanding rebut jawatan Timbalan Presiden BERSATU — Wan Saiful

“Kami menerima aduan daripada beberapa pihak termasuk ADUN Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad dan penduduk kampung berhampiran apabila melihat kontena ini berada di pelabuhan.

“Saya berhubung dengan pihak berkenaan dan sedang menunggu maklum balas serta laporan penuh daripada mereka.

"Kami menggesa laporan itu segera disediakan bagi meredakan kebimbangan orang ramai," katanya ketika ditemui pemberita di Jalan Abdul Samad di Johor Bahru, Johor pada Ahad.

photo1717319994

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

Menurut Mohamad Fazli, ini kali pertama kerajaan Johor menerima aduan mengenai kontena berkaitan syarikat perkapalan Israel yang berlabuh di pelabuhan negeri.

“Kita serahkan isu ini kepada pihak berkuasa. Orang ramai dinasihatkan supaya mengelak daripada mengambil perkara sendiri dan melaporkan segera kepada kerajaan negeri atau agensi berkaitan untuk menyelesaikan isu tersebut dengan baik.

“Buat masa ini, kami tidak tahu kandungan kontena itu,” tambahnya.

Terdahulu, media melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa siasatan berhubung dakwaan kehadiran kontena tertera logo syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM, di sebuah pelabuhan di Iskandar Puteri.

Ahmad Zahid menambah, negara itu terikat dengan dasar kerajaan yang tidak mempunyai hubungan diplomatik atau perjanjian perdagangan bersama Israel.

Katanya, jika terdapat barangan Israel di mana-mana pelabuhan di Malaysia menggunakan pihak ketiga, perkara itu perlu dipantau pihak berkuasa. — The Star/REMAR NORDIN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram