Serangan Iran terhadap Israel adalah tindakan sah — PM Anwar


  • Primer
  • Isnin, 15 Apr 2024

Anwar berkata, Putrajaya menyambut baik jaminan daripada Iran bahawa negara itu tidak akan melanjutkan sebarang tindak balas dengan syarat tiada serangan terbaharu dibuat oleh rejim Zionis.

SERANGAN yang dilakukan Iran terhadap Israel dengan menggunakan senjata dron merupakan tindakan yang sah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Putrajaya juga menyambut baik jaminan daripada Iran bahawa negara itu tidak akan melanjutkan sebarang tindak balas dengan syarat tiada serangan terbaharu dibuat oleh rejim Zionis.

“Bersama negara-negara bertamadun yang lain, Malaysia menggesa rejim Zionis Israel untuk tidak mengambil apa-apa lagi tindakan balas yang akan memburukkan lagi keadaan tegang di Timur Tengah.

"Terdapat tanda yang jelas bahawa masyarakat antarabangsa tidak mahu melihat keadaan yang lebih buruk lagi," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, Anwar berkata, di sebalik ketidaktentuan geopolitik yang berlaku, kesannya terhadap ekonomi Malaysia masih kekal terkawal.

Ujarnya, Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) juga didapati hanya mengalami penurunan kecil selari dengan arah aliran serantau.

"Walau apapun, Kerajaan Madani akan terus memantau perkembangan ini dengan teliti dan akan mengambil langkah-langkah proaktif untuk memastikan bahawa keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat akan sentiasa terjamin.

"Kepentingan negara akan sentiasa menjadi matlamat utama," jelasnya.

BACA LAGI: Perang dunia ke-3 boleh tercetus jika Israel dibiar terus cabul undang-undang antarabangsa

An anti-missile system operates after Iran launched drones and missiles towards Israel, as seen from Ashkelon, Israel April 14, 2024. REUTERS/Amir Cohen     TPX IMAGES OF THE DAY

Iran pada Sabtu melancarkan lebih 200 dron dan peluru berpandu ke atas Israel sebagai tindak balas terhadap tindakan Israel yang menyerang konsulatnya di Damsyik pada 1 April lalu. — Agensi

BACA LAGI: [VIDEO] Pangkalan udara Israel jadi sasaran peluru berpandu Iran

Anwar sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara bagi menangani ketegangan yang semakin memuncak di Timur Tengah.

Mesyuarat itu dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri 1, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan pegawai kanan kerajaan yang lain.

"Mesyuarat yang diadakan dua hari berturut-turut menunjukkan perhatian serius Kerajaan Madani terhadap isu ini, dan juga usaha yang diambil untuk memastikan bahawa Malaysia dan rakyatnya tidak terjejas oleh perkembangan ini," kata Anwar.

Beliau turut penyelesaian serta-merta dan adil perlu dilaksanakan berhubung isu kemanusiaan yang berlaku di Gaza sekiranya mahu menyelesaikan konflik yang memuncak ketika ini.

“Oleh itu, perhatian masyarakat antarabangsa mesti ditumpukan kepada isu ini, tanpa gangguan lain.

"Gencatan senjata yang berkekalan mesti diwujudkan untuk membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan," katanya sambil memaklumkan sumbangan terbaru dari Malaysia kepada Gaza melibatkan sebanyak 100 kontena dijangka berlepas pada 27 April depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram