Bekas Datuk Bandar MBJB didakwa terima rasuah lebih RM1.5 juta


  • 112
  • Ahad, 02 Jun 2024

Tertuduh (kemeja putih) ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tuduhan menerima rasuah mencecah RM1.55 juta pada Ahad.

BEKAS Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Johor Bahru, Johor pada Ahad (2 Jun) atas 12 pertuduhan menerima rasuah bernilai RM1.55 juta.

Tertuduh, Datuk Adib Azhari Daud, 64, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.

Adib Azhari yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Datuk Bandar MBJB menerima rasuah dengan nilai antara RM10,000 hingga RM250,000 daripada seorang pengantara sebagai upah membantu mendapatkan pelbagai kerja projek kontraktor MBJB.

BACA LAGI: [VIDEO] SPRM lanjutkan tempoh pengisytiharan harta 2 anak Tun M

BACA LAGI: ‘SPRM sila siasat, saya mahu tahu kebenaran’, Hannah Yeoh perjelas tidak beri respons segera isu kontrak syarikat suami

Kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 didakwa dilakukan di Jalan Serama 7, Larkin, Johor antara 26 Jun 2020 dan 6 Ogos 2021.

Duit itu sebagai upah membabitkan penyelenggaraan loji rawatan kumbahan berpusat dan tebatan banjir Sungai Segget, kerja penyelenggaraan landskap tepi jalan secara tahunan dan penyelenggaraan cantas serta menebang pokok di dalam kawasan MBJB.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun.

Ia termasuk didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Kluang, Johor menahan seorang bekas Datuk Bandar di negeri itu pada Sabtu (1 Jun) kerana disyaki menerima rasuah lebih RM1 juta.

"Suspek ditahan kerana dipercayai menerima rasuah ketika memegang jawatan Datuk Bandar.

"Dia dipercayai menerima lebih RM1 juta daripada kontraktor sebagai dorongan untuk meluluskan projek daripada PBT," kata sumber itu.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009. The Star/REMAR NORDIN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram