BEKAS penyerang Harimau Muda, Muhd Hadi Fayyadh masih belum mendapat peluang untuk beraksi bersama Perak FC musim ini meskipun pernah berkelana ke Liga Jepun bersama beberapa pasukan divisyen bawahan negara Matahari Terbit itu.
Pemain berusia 24 tahun itu hanya tampil dalam 12 perlawanan bersama Perak musim lalu dan tidak berjaya menghasilkan sebarang jaringan sehingga dipinjam keluar oleh pihak pengurusan The Bos Gaurus kepada PDRM FC.
Kehadiran Fayyadh dalam kem PDRM memberikan impak positif apabila tampil dalam sembilan perlawanan Liga Super dan berjaya membantu pasukan itu menjuarai Piala Cabaran 2023 untuk menewaskan Kuching City.
BACA LAGI: Ramon Marcote petik Selangor, Kedah, Sabah dan kelab Pantai Timur calon kuat saingan JDT
BACA LAGI: 'Satu kerugian buat bola sepak negara' Pol Corpas ulas keputusan TRW
Laman Facebook penyokong Perak, Silverstates Supporters Fan Club turut berkongsi tentang keberadaan pemain tersebut dalam skuad The Bos Gaurus (TBG).
"Ketika berita penghijrahan Hadi Fayyadh ke Perak FC pada Januari 2023 tersebar, ramai penyokong bola sepak tanah air tidak sabar untuk melihat aksinya selepas berkelana di Liga Jepun (J-League) selama tiga musim sejak 2019.
"Selepas setahun bersama Perak FC dan dipinjamkan pula ke PDRM FC pada pusingan kedua Liga Malaysia (Liga M), penyokong mulai tertanya-tanya tentang keberadaan pemain tersebut dalam skuad TBG.
"Berdasarkan media sosial rasmi Perak FC, kelibat pemain berusia 24 tahun itu masih kelihatan di padang latihan namun masih belum mendapat kepercayaan Yusri Che Lah untuk beraksi dalam saingan Liga Super.
Melihat situasi semasa Fayyadh yang sukar mendapat tempat dalam skuad Perak sebagai penyerang, penyokong mahu Yusri Che Lah menurunkan pemain itu sebagai pertahanan.
Ini kerana, bekas graduan Akademi Johor Darul Ta'zim (JDT) itu mempunyai saiz fizikal yang baik sebagai pertahanan dengan ketinggian 1.84 meter (m).
"Cuba main pertahanan kanan, mana tahu lagi 'power'," kata Mohd Hairulanuar.
"Bagi dia main pertahanan, jadi macam Junior Eldstal padu juga walaupun berat," ujar Amirul Azryn.
"Tukar posisi cuba letak main pertahanan tengah, sebab fizikal dah padu," luah Panda Black.
"Cuba ubah posisi, jadi 'last man' (pertahanan) ke?" soal Fizz Fairuz.
Sebelum ini, Fayyadh pernah beraksi di Liga Jepun bersama Fagiano Okayama (J-League 2) dan Azul Claro Numazu (J-League 3) selama lima tahun sebelum pulang ke tanah air pada musim lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram