‘SPRM sila siasat, saya mahu tahu kebenaran’, Hannah Yeoh perjelas tidak beri respons segera isu kontrak syarikat suami


  • Primer
  • Sabtu, 01 Jun 2024

Hannah (kanan) mengalu-alukan pihak SPRM menyiasat kes melibatkan Asia Mobiliti Techonologies yang dikaitkan dengan suaminya, Ramanchandran Muniandy.

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan berkenaan syarikat suaminya, Ramanchandran Muniandy dengan projek kerajaan negeri Selangor.

Sebelum ini, timbul dakwaan mengatakan syarikat suami Hannah, Asia Mobiliti Technologies menerima kontrak bagi projek Transit Permintaan Responsif Selangor (DRT) secara rundingan terus dan bukannya tender terbuka.

Hannah dalam kenyataannya pada Sabtu berkata, beliau mahu tahu kebenaran mengenai perkara tersebut dan mengalu-alukan pihak SPRM melakukan siasatan.

BACA LAGI: Tiada projek diberikan kepada suami Hannah Yeoh — Fahmi Fadzil

BACA LAGI: PM Anwar mahu siasatan telus isu pemberian kontrak syarikat suami Hannah Yeoh

"Saya mengalu-alukan siasatan oleh SPRM mengenai projek Selangor DRT. Sekarang ini, siasatan telah bermula, saya mahu tahu kebenaran dan berharap kebenaran akan muncul daripada siasatan ini. Malaysia berhak untuk mengetahuinya," kata Hannah.

Dalam masa yang sama, Hannah turut menjelaskan kenapa dia berdiam mengenai isu yang sedang hangat dibualkan.

Menurutnya, dia tidak mahu sebarang kata-kata yang keluar dari mulutnya akan memberi kesan kepada siasatan. Sebaliknya, dia menyerahkan segalanya kepada SPRM bagi mendapatkan kebenaran.

"Oleh itu, adalah tidak manis untuk saya memberikan sebarang komen kerana bimbang ia boleh menganggu siasatan yang sedang dijalankan.

"Disebabkan itu saya tidak berkata apa-apa kerana pada saya, itu adalah jalan terbaik untuk berdepan dakwaan dan menyerahkannya kepada pihak sepatutnya untuk menyiasat," ujar Hannah.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menafikan Asia Mobiliti ada mendapat projek daripada kerajaan Selangor untuk projek Selangor DRT.

Malah, pihak SPRM menerusi Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki mengatakan tiada kesalahan dilakukan terhadap projek tersebut dan ia tidak memerlukan siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram