Jenazah pendaki Malaysia maut Gunung Denali AS dalam proses dibawa pulang ke tanah air


  • Massa
  • Ahad, 02 Jun 2024

Zulkifli (kanan) meninggal dunia ketika menawan Gunung Denali, Alaska, Amerika Utara baru-bari ini.

SEORANG pendaki rakyat Malaysia yang meninggal dunia selepas terkandas ketinggian 19,700 kaki di Gunung Denali di Alaska, Amerika Syarikat (AS) sudah selamat dibawa turun dari lokasi kejadian pada Sabtu (1 Jun).

Menerusi satu hantaran Facebook, Kelab Alpine Malaysia memaklumkan, jenazah kini di tempatkan di sebuah hospital di Anchorage, Alaska dan akan menjalani proses selanjutnya

"Kami mendapat makluman melalui Konsular Malaysia di Los Angeles dan pihak berkenaan jenazah Zulkifli Yusof, 37 tahun yang meninggal semasa mendaki di Gunung Denali, Alaska sudah selamat dibawa turun dari lokasi kejadian pada pukul 8.30 pagi 1 Jun 2024 waktu tempatan.

BACA LAGI: Penduduk siap solat hajat atas bukit, lelaki 'hiking' hilang 4 hari ditemukan selamat

BACA LAGI: 'Celup kaki pun tak boleh', student UPM tegur kaki hiking ceroboh Blue Lagoon

"Pihak keluarga sedang berurusan dengan syarikat insuran dibantu wakil Konsular Malaysia untuk membawa jenazah pulang ke Malaysia dalam masa terdekat," katanya.

Sementara itu katanya, dua pendaki lain iaitu Muhammad Illaham Ishak dan Zainudin Lot, masing-masing berusia 47 tahun masih berada di hospital untuk rawatan akibat 'frostbite'.

"Wakil Kelab Jelajah Alpine, Norsafrina Shamsir Md Nasir, kini berada di Talkeetna Alaska untuk membantu urusan membawa pulang jenazah dan dua pendaki iaitu Illaham serta Zainudin.

"Untuk sementara ini kami mohon agar pihak waris dan keluarga diberikan ruang privasi sebaiknya. Kami mohon agar rakyat Malaysia doakan agar semua urusan dipermudahkan," katanya.

Allahyarham bersama dua lagi pendaki sebelum ini terkandas pada ketinggian 19,700 kaki di Gunung Denali di Alaska, sejak Selasa lalu ketika membuat pendakian di gunung tertinggi di Amerika Utara itu.

Zainudin berjaya diselamatkan pasukan penyelamat pada Jumaat lalu dan kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Talkeetna, Alaska.

Sebelum ini pada Selasa lalu, Denali National Park & Preserve dalam satu kenyataan mengesahkan pasukan penyelamat mereka berjaya menyelamatkan Illaham Ishak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram