PM Anwar mahu siasatan telus isu pemberian kontrak syarikat suami Hannah Yeoh


  • Primer
  • Selasa, 28 Mei 2024

Anwar Ibrahim mahu siasatan pemberian kontrak DRT dijalankan secara telus.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa membabitkan isu penganugerahan kontrak kepada suami Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, siasatan berhubung isu pemberian kontrak Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) perlu dijalankan dengan telus sekiranya terdapat sebarang laporan mengenai penganugerahan kontrak tersebut.

BACA LAGI: SPRM sudah teliti dan periksa, tiada kes libat suami Hannah Yeoh — Azam Baki

BACA LAGI: Tiada kesalahan Selangor beri projek kepada syarikat suami Hannah Yeoh — Azam Baki

"Kalau ada laporan, (kena) ada siasatan dan patut ada penjelasan tentang prosesnya.

"(Proses) itu harus dianggap sebagai kes biasa yang patut disiasat," katanya ringkas kepada pemberita.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan, tiada sebarang kesalahan dikesan berhubung penganugerahan kontrak Kerajaan Selangor kepada suami Hannah yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Asia Mobility Technologies Sdn. Bhd.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dipetik berkata, berdasarkan laporan media diterima pihaknya, kontrak itu diberikan oleh entiti lain yang tidak mempunyai kaitan dengan tugas dan tanggungjawab Hannah selaku Menteri Belia dan Sukan.

Beliau berkata, sekiranya satu kontrak yang tiada kena mengena dengan tugas (pihak yang dibangkitkan) maka ia bukanlah satu kesalahan, melainkan jika Kementerian Belia dan Sukan yang diterajui Hannah yang memberi kontrak itu kepada syarikat terbabit. — The Star/ TEH ATHIRA YUSOF

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram