Harga sayur tak masuk akal, cef ingatkan peniaga kira kos betul-betul sebelum tetapkan harga jualan


  • Massa
  • Sabtu, 01 Jun 2024

Harga sayur termasuk daun sup dilihat naik mendadak dan menimbulkan rasa kurang senang rakyat. — Facebook/Chef Amer

SABAN tahun, kita akan berdepan dengan cabaran kenaikan harga barang. Akibat kenaikan harga barang, ia membuatkan kos sara hidup turut meningkat.

Ia memberi kesan kepada semua pihak termasuklah mereka yang berniaga menjual makanan. Baru-baru ini, isu kenaikan harga barang sekali lagi menjadi perbualan hangat.

Hal ini kerana, perkongsian seorang tukang masak di Facebook iaitu Chef Amer yang kecewa dengan kenaikan harga barang iaitu daun sup dan daun saderi yang meningkat secara mendadak.

BACA LAGI: Subsidi diesel bersasar: Harga barang tak patut naik — Amir Hamzah

BACA LAGI: Harga 8 bahan mentah dalam perhatian KPDN Sabah sempena Kaamatan

Kata Amer, peningkatan sebanyak sekali ganda itu mengejutkannya kerana lazimnya daun-daun tersebut boleh didapati pada bawah RM10 untuk timbangan 1 kilogram.

"Daun sup atau daun saderi. Terkejut beruk pagi ni pergi pasar beli daun sup yang berharga RM17/kilo.

"Timun Jepun pun sama. Selalu beli cuma RM4.50 je sekilo, hari ni naik sampai RM10/kilo. Ajer gilerrrr," kata Amer.

Kenaikan harga barang itu menimbulkan rasa tidak senang buat Amer yang turut menganjurkan kelas memasak.

Oleh kerana itu, dia mengingatkan para peniaga untuk sentiasa melakukan kira-kira yang tepat apabila melibatkan kos supaya mereka tidak kerugian apabila meniaga.

"Demi kelas sup dan soto pada Ahad yang memang memerlukan daun sup ni, belilah juga walaupun tangan terketar-ketar membayar.

"Macam manalah peniaga nasi ulam, nasi ayam dan nasi kenduri nak berniaga ni? Sebab tu saya selalu ingatkan dan pesan. Kira kos betul-betul, baru letak harga jualan.

"Jangan main agak-agak dan congak sahaja. Banyak lagi kos-kos lain yang tidak dimasukkan lagi. Jangan kerana naik sangat tarik pelanggan, sanggup korbankan keuntungan untuk menang dalam persaingan," ujar Amer.

Perkongsian Amer itu turut diakui oleh warganet lain yang kecewa dengan kenaikan harga barang.

Baik pengguna atau peniaga, masing-masing jelas terkesan dengan kenaikan harga barang.

"Benar cef, di Sungai Besar, Selangor harga timun Jepun RM9.90, cili sekilo RM32, cili padi merah Thai RM13, cili padi hijau RM16 atau RM19," kata warganet bernama Ema Rahimah.

"Saya buka kedai runcit mini di Kulim, saya saya ambil terus dari Cameron Highlands saya ambil, tak lalu orang ketiga pun. Tapi harga direct mahal. Nak bayar pun terketar-ketar tangan," ujar Siti Kamanggi pula.

"Semua sayur naik harga. Timun biasa selalu RM3 hari ini (jadi) RM6.50. Beberapa barang mereka hold dan tak adakan barang sebab bulan Jun nak naikkan harga," komen Hafiza Mustapa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram