Subsidi diesel bersasar: Harga barang tak patut naik — Amir Hamzah


  • Primer
  • Jumaat, 31 Mei 2024

Kenaikan harga barang dijangka mungkin tidak berlaku kerana subsidi kepada pelbagai industri terutama sektor logistik juga mendapat manfaat.

PROGRAM Bantuan Subsidi MADANI (Budi Madani) merangkumi lima elemen termasuk tiga yang terbaharu dengan keseluruhannya melibatkan lebih sejuta penerima manfaat.

Elemen sedia ada meliputi pengangkutan awam menerusi pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS 1.0) di mana subsidi melalui fleet card untuk 10 jenis kenderaan, manakala nelayan kategori A/B/C1 pula menerima kuota subsidi berdasarkan hasil tangkapan dengan masing-masing membabitkan kira-kira 20,000 dan 15,000 penerima manfaat.

Tiga elemen terbaharu adalah SKDS 2.0 yang memperluaskan inisiatif sedia ada meliputi 23 segmen baharu kenderaan pengangkutan barangan juga melalui fleet card dengan kira-kira 400,000 penerima manfaat.

BACA LAGI: Sejuta 'fleet card' disediakan sebelum pelaksanaan kawalan subsidi diesel — Menteri

BACA LAGI: Rasionalisasi subsidi diesel di semenanjung akan dilaksanakan tahun ini — KPDN

PUTRAJAYA, 26 Jan -- Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada sidang media di Kementerian Kewangan hari ini.Beliau berkata penjawat awam skim berpencen sedia ada tidak terkesan dengan sistem saraan perkhidmatan awam yang akan dimuktamadkan. --fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Seterusnya adalah kira-kira 300,000 individu dalam kalangan pemilik kenderaan diesel tidak mewah yang layak menerima bantuan tunai bulanan interim sebanyak RM200.

Beberapa syarat ditetapkan termasuk warganegara tempatan, berpendapatan kurang RM100,000 setahun, memiliki cukai jalan aktif, kenderaan diesel didaftarkan menggunakan MyKad penerima, selain kenderaan mewah berusia kurang 10 tahun.

Bagaimanapun, syarat lain yang dipertimbangkan adalah individu yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan atau bersifat mikro.

Manakala bagi elemen kelima pula melibatkan kira-kira 300,000 petani dan pekebun kecil yang juga akan menerima bantuan tunai dengan syarat memperoleh hasil jualan tahunan antara RM50,000 hingga RM300,000.

Perkara itu disampaikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada sesi bersama pengarang media di Kementerian Kewangan pada Rabu.

"Kita mengambil masa lama untuk mengenal pasti sektor yang perlu ditolong dengan kerjasama pelbagai kementerian seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

"Sebanyak 51 peratus daripada jumlah kenderaan diesel layak mendapat sokongan.

"Ada yang pakai kereta jenama mewah tapi dah lebih 10 tahun, jadi boleh dapat subsidi, tetapi kalau kereta mewah baharu kena bayarlah sendiri. Kita beri kepada yang layak sahaja," katanya yang tidak menolak kemungkinan menyenaraikan pesara sebagai penerima bantuan tunai jika memenuhi syarat kelayakan.

A driver filling up diesel into his car at a petrol station. Photo for the story of Diesel subsidy to strengten (22/5/202). —AZHAR MAHFOF/The Star

Kenderaan diesel mestilah didaftarkan menggunakan MyKad penerima untuk menerima subsidi diesel. — Gambar hiasan

Berdasarkan data Jabatan Perangkaan, kira-kira 70 peratus pengguna kereta diesel dari isi rumah dengan pendapatan kurang RM100,000 setahun melakukan perjalanan kurang daripada 60 kilometer (km) sehari.

"Angka ini bermakna bantuan Budi Madani sebanyak RM200 sebulan adalah memadai untuk menampung kenaikan harga diesel ekoran penyasaran subsidi ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan rakyat yang termasuk dalam tiga elemen terbaharu itu mendaftar sebelum 3 Jun ini bagi membolehkan mereka mendapat wang tunai berkenaan menjelang pertengahan bulan depan.

"Jika daftar selepas 3 Jun pun boleh, tetapi bantuan tunai itu akan dapat lewat," katanya sambil menambah selain pendaftaran boleh dilakukan di laman web Budi Madani, ia juga dibangun untuk mengetahui status permohonan dan mengemukakan rayuan.

"Kita tidak jamin rayuan akan dapat tetapi kita jamin akan menelitinya kerana apa yang dilakukan adalah secara holistik," katanya.

Mengenai kemungkinan berlaku kenaikan harga barang selepas pelaksanaan subsidi bersasar, Amir Hamzah berkata, kerajaan tidak menjangka perkara itu berlaku kerana subsidi kepada pelbagai industri terutama sektor logistik juga mendapat manfaat.

"Sebanyak 23 segmen kenderaan itu mengangkut barang untuk penghantaran. Jika kita sokong sektor ini, tidak ada alasan untuk menaikkan harga barang.

"Sebab itu ada SKDS 2.0 dan kita berikan fleet card dengan kadar subsidi diesel RM2.15 seliter," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram