KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang memantau rapi pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Kaamatan di Sabah.
Penguatkuasaan itu melibatkan sebanyak 193 penguat kuasa dan 72 pegawai pemantau harga di lokasi strategik seluruh negeri itu.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri KPDN Sabah, Zulfamy Mat Udi berkata, pegawai-pegawai tersebut menjalankan pemeriksaan di pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah yang menjual barang keperluan asas ketika perayaan.
BACA LAGI: Tiada istilah SBP elit, tempoh pelantikan pengganti pengetua bergantung pelbagai faktor — KPM
Perayaan Kaamatan yang disambut secara besar-besaran di Sabah. — Gambar hiasan/The Star
Katanya, skim tersebut bermula dari Isnin lalu hingga 2 Jun yang merangkumi lapan barang asas.
"Antara barang keperluan yang termasuk dalam kawalan skim harga itu adalah kepak ayam, daging kerbau import dari India kecuali daging batang pinang, bawang merah kecil India, bawang putih China, cili kering keriting, daging, lemak dan perut khinzir," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Zulfamy berkata, skim harga maksimum itu dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang menetapkan harga di peringkat borong serta runcit.
Pengguna juga disarankan untuk menyemak harga yang ditetapkan di laman web https://www.kpdn.gov.my/. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram