POLIS Diraja Malaysia (PDRM) bakal memanggil pegawainya yang disyaki terbabit insiden memukul seorang lelaki kurang upaya bisu dan pekak di sebuah hotel di ibu negara untuk membantu siasatan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan menyeluruh berkaitan kes itu berdasarkan perkembangan terkini yang diperoleh.
BACA LAGI: Usia 60 tahun tak jadi penghalang, anak Sarikei jadi orang Sarawak pertama tawan Everest
BACA LAGI: Kerajaan tidak akan perkenal cukai baharu — Anwar
"Pegawai-pegawai terbabit dalam insiden ini akan dipanggil ke Bukit Aman untuk membantu siasatan.
"Langkah ini diambil untuk memastikan penyiasatan dilakukan secara menyeluruh dan semua pihak yang terbabit dapat memberikan keterangan mereka.
"Keutamaan dalam setiap siasatan adalah untuk memastikan tiada pelaku terlepas daripada tanggungjawab atas perbuatan mereka," katanya.
Pada masa sama, Razarudin menegaskan bahawa PDRM komited untuk memelihara integriti dan memastikan tindakan sewajarnya diambil untuk mempertahankan keadilan dan melindungi hak individu terjejas terutamanya golongan OKU.
Majoriti pada Rabu melaporkan mengenai satu insiden melibatkan seorang lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) yang didakwa dikasari oleh pengiring seorang kenamaan ketika berada di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Selasa.
Berdasarkan laporan polis yang dilihat Majoriti, mangsa yang juga OKU bisu dan pekak, 46, merupakan seorang pemandu e-hailing.
Kejadian terbabit didakwa berlaku di sebuah hotel di Kuala Lumpur. — Gambar hiasan
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 pagi itu, semasa mangsa sedang menunggu penumpangnya di sebuah hotel, rombongan individu kenamaan dilihat bergerak keluar dari lobi hotel.
Difahamkan, salah seorang daripada pengiring terbabit telah mengetuk cermin kereta hadapan untuk meminta pengadu bergerak sebelum bertindak menumbuk kepala mangsa supaya mengalihkan kenderaannya.
Mangsa kemudian dibawa mendapatkan rawatan awal di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan disahkan mengalami kecederaan.
Susulan daripada itu, Polis Kuala Lumpur mengesahkan pemandu kenderaan e-hailing yang mendakwa dipukul seorang pengawal keselamatan rombongan kenamaan di lobi sebuah hotel ibu negara pada Selasa, sudah menarik balik laporannya pada hari yang sama.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, individu berkenaan membuat laporan polis kedua untuk menarik balik laporan polis pertama.
Rusdi dilaporkan berkata, kejadian tersebut berlaku disebabkan salah faham arahan pergerakan mengalihkan kenderaan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan turut menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram