Benarkan pihak berkuasa siasat, tetapi tidak wajar kaitkan saya dan institusi diraja — TMJ


  • Primer
  • Jumaat, 31 Mei 2024

DALAM satu kenyataan pada Jumaat, Tunku Ismail menegaskan bahawa baginda tidak membenarkan sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi undang-undang.

PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan melibatkan pegawai polis pengiring yang dipercayai melakukan perbuatan berbahaya terhadap seorang individu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan pada Jumaar, Tunku Ismail menegaskan baginda tidak membenarkan sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi undang-undang.

Tunku Ismail yang turut dikenali sebagai TMJ bertitah, susulan daripada kejadian yang berlaku di St Regis Hotel Kuala Lumpur pada Selasa itu, baginda segera menggesa pasukan pengiring keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memberikan kerjasama dengan pihak penyiasat.

"Saya berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan mengikut undang-undang dan memberi keadilan sebaiknya kepada mangsa.

"Justeru, saya menggesa semua pihak membenarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan. Saya juga sedar ada gerakan mengheret institusi diraja dengan menggunakan insiden ini, tetapi mengaitkan tindakan anggota keselamatan luar dengan diri saya dan seluruh institusi diraja adalah tidak wajar," titahnya pada Jumaat.

Majoriti pada Rabu melaporkan mengenai satu insiden melibatkan seorang lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Selasa yang didakwa dikasari oleh pengiring seorang kenamaan.

Berdasarkan laporan polis dilihat Majoriti, mangsa yang juga OKU bisu dan pekak, 46, merupakan seorang pemandu e-hailing.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 pagi itu, semasa mangsa sedang menunggu penumpangnya di sebuah hotel, rombongan individu kenamaan dilihat bergerak keluar dari lobi hotel.

2720713

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa.

Difahamkan, salah seorang daripada pengiring terbabit telah mengetuk cermin kereta hadapan untuk meminta pengadu bergerak sebelum bertindak menumbuk kepala mangsa supaya mengalihkan kenderaannya.

Mangsa kemudian dibawa mendapatkan rawatan awal di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan disahkan mengalami kecederaan.

Susulan daripada itu, Polis Kuala Lumpur mengesahkan pemandu kenderaan e-hailing yang mendakwa telah dipukul seorang pengawal keselamatan rombongan kenamaan di lobi sebuah hotel ibu negara pada Selasa, telah menarik balik laporannya pada hari yang sama.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, individu berkenaan membuat laporan polis kedua untuk menarik balik laporan polis pertama.

Rusdi dilaporkan berkata, kejadian tersebut berlaku disebabkan salah faham arahan pergerakan mengalihkan kenderaan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan turut menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram