POLIS mengesahkan pemandu kenderaan e-hailing yang mendakwa telah dipukul seorang pengawal keselamatan rombongan kenamaan di lobi sebuah hotel ibu negara pada Selasa, telah menarik balik laporannya pada hari yang sama.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, individu berkenaan, yang juga orang kurang upaya (OKU),membuat laporan polis kedua untuk menarik balik laporan polis pertama.
“Pada 28 Mei, polis Kuala Lumpur telah menerima satu laporan polis yang dibuat oleh pengadu yang merupakan seorang pemandu Grab lebih kurang pukul 1.00 petang.
BACA LAGI: Didakwa serang OKU, polis siasat pengiring TMJ
BACA LAGI: TMJ ‘bersuara’ kes pecah rumah Khuzaimi Piee, ‘comment ni kena delete ke?’
"Pengadu tersebut mendakwa telah diserang oleh seorang individu yang merupakan pengiring kepada rombongan kenamaan.
"Pengadu kemudiannya telah membuat laporan polis kedua menyatakan telah menyelesaikan perkara yang berlaku secara baik, serta tidak mahu memanjangkan kes lebih kurang pukul 9.59 malam pada hari yang sama," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah Rusdi, kejadian tersebut berlaku disebabkan salah faham arahan pergerakan mengalihkan kenderaan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan turut menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden berkenaan.
Terdahulu, FMT melaporkan, salah seorang pengiring Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim disiasat atas dakwaan menyerang seorang lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Selasa.
Pemandu berusia 46 tahun itu mendakwa ditumbuk di kepala dan diminta untuk mengalihkan kenderaannya. Susulan itu, mangsa kemudian membuat laporan polis selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram