TINDAKAN kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi diesel dapat membantu membuka ruang fiskal yang lebih besar bagi memberi manfaat kepada rakyat.
Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, kerajaan dapat menjimatkan sebanyak RM4 bilion hasil daripada penyasaran semula subsidi diesel.
Menerusi penjimatan tersebut, wang boleh dibelanjakan ke perkara lain terutamanya dalam meningkatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.
BACA LAGI: Permohonan subsidi diesel, Budi Madani RM200 sebulan dibuka Selasa
BACA LAGI: Mekanisme, perincian penyasaran subsidi diesel diumum dalam masa terdekat — PM Anwar
Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. — AZHAR MAHFOF/The Star
"Apa yang kita dapat (daripada penjimatan penyasaran subsidi diesel) kita akan gunakan untuk meningkatkan lagi (kualiti) perkhidmatan untuk rakyat. Kalau kita tidak laksanakan langkah itu, kita tidak boleh buat penjimatan serta sukar bagi kerajaan menambah baik perkhidmatan dalam negara.
"Kita berikan (subsidi) kepada sektor-sektor yang sepatutnya dan penjimatan yang diperoleh kita labur semula pada infrastruktur, sekolah dan apa sahaja perkhidmatan yang sepatutnya dilaksanakan oleh kerajaan. Ini adalah usaha (berterusan) kerajaan," katanya.
Menurut Amir Hamzah, perbelanjaan kerajaan terhadap subsidi diesel berkurangan dengan tahun 2022 merekodkan RM81 bilion digunakan untuk subsidi serta perbelanjaan sosial dan ia menurun kepada RM70 bilion pada tahun berikutnya.
"Kalau kita peruntuk daripada bajet RM307 bilion untuk operasi, maka ruang untuk membelanjakan perkara-perkara yang lebih penting untuk masa depan menjadi kurang," katanya sambil menambah pelaksanaan penyasaran subsidi diesel ialah untuk menyediakan ruang fiskal yang lebih luas.
Penyasaran subsidi diesel dilakukan oleh kerajaan menerusi program Budi Madani dengan penerima yang layak akan mendapat bantuan tunai sebanyak RM200 sebulan.
Sebanyak 700,000 kenderaan menggunakan diesel layak menerima bantuan tersebut dengan 300,000 daripadanya adalah milik persendirian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram