Jemaah haji, umrah wajib ambil vaksin meningokokus sebelum berlepas


  • Primer
  • Selasa, 28 Mei 2024

Semua jemaah haji dan umrah diwajibkan mengambil vaksin meningokokus bagi langkah pencegahan penyakit IMD. — Gambar hiasan

JEMAAH Malaysia diwajibkan mengambil vaksin meningokokus sebelum berlepas ke Arab Saudi untuk menunaikan ibadah haji atau umrah, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

KKM dalam satu kenyataan berkata, ia adalah selaras dengan protokol yang ditetapkan oleh Arab Saudi.

Kementerian itu berkata demikian susulan amaran yang dikeluarkan Arab Saudi berhubung penyakit meningokokus invasif (IMD) yang dikaitkan dengan mereka yang pulang dari Makkah.

BACA LAGI: Permohonan subsidi diesel, Budi Madani RM200 sebulan dibuka Selasa

BACA LAGI: PRK Sg Bakap: BN jamin bantu calon Perpaduan — Ahmad Zahid

msg1050426791-32806

Suntikan vaksin itu boleh diambil dua minggu sebelum berlepas. — Gambar hiasan/Agensi

"Ia berikutan perhimpunan besar-besaran seperti umrah dan haji, jemaah pasti berdepan risiko kesihatan awam, terutamanya penyakit berjangkit seperti Influenza, MERS-Cov, Meningitis, Covid-19, radang paru-paru dan lain-lain.

"Bagi Meningitis pula, laporan Rangkaian Amaran CDC (Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit) Amerika Syarikat menyatakan, terdapat 12 kes dalam kalangan jemaah umrah sejak April 2024 dan kebanyakan individu yang dijangkiti tidak menerima vaksin MenACWY sebelum menunaikan haji," katanya lagi.

KKM berkata, jemaah haji Malaysia boleh mendapatkan vaksin itu di fasiliti kesihatan kerajaan secara percuma atau di pusat kesihatan swasta dengan bayaran.

Suntikan juga boleh diambil dua minggu sebelum berlepas.

"Bagi jemaah umrah pula, mereka boleh mendapatkan vaksin ini di pusat kesihatan swasta," katanya.

msg1050426791-32807

Gejala yang ada pada pesakit IMD. — Agensi

Jemaah haji dan umrah Malaysia juga dinasihatkan mendapatkan rawatan di pusat kesihatan di Arab Saudi jika mereka mengalami gejala.

"Saringan kesihatan dijalankan melalui pengimbas haba di pintu masuk antarabangsa untuk mengenal pasti jemaah haji dan umrah yang mempunyai gejala ketika pulang.

"Jika didapati bergejala, pemeriksaan lanjut akan dijalankan dan jika perlu, mereka akan dirujuk ke hospital terdekat untuk rawatan lanjut.

"Pusat kesihatan kerajaan dan swasta sentiasa diingatkan supaya bersedia mengenal pasti, memeriksa dan merawat jemaah haji dan umrah yang datang ke klinik atau hospital mereka," tambahnya.

Katanya, pihaknya akan terus memantau perkembangan di Arab Saudi dan mengambil langkah berjaga-jaga.

Media sebelum ini melaporkan, seramai tiga jemaah disahkan positif IMD di United Kingdom selepas pulang dari menunaikan haji.

IMD merupakan bakteria meningokokus yang jarang berlaku malah ia menyerang sistem saraf dan boleh membawa maut, seperti meningitis atau septikemia. — The Star/RAGANANTHINI VETHASALAM

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram