KETUA Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden menyoal mengapa rakyat yang ingin menerima subsidi diesel perlu mendaftar dengan Program Bantuan Subsidi (BUDI) BUDI Madani pada Isnin.
Ini kerana kerajaan telah meminta orang ramai mendaftar di Hab Pangkalan Data Pusat (PADU) pada awal tahun yang juga bertujuan subsidi bersasar, kata ahli parlimen Alor Setar itu.
BACA LAGI: Wajib isi PADU, ada 4 lagi sistem lebih kurang sama pernah diisi penjawat awam terutamanya guru
BACA LAGI: Menteri Sarawak samakan daftar PADU ibarat 'telanjangkan diri', warganet jadi tambah keliru
"Hari tu rakyat disuruh daftar dengan PADU. Menteri kata, siapa tak daftar PADU, nanti akan tercicir, tak dapat bantuan Kerajaan, tak dapat subsidi. Maka ramailah yang daftar PADU.
"Tiba-tiba hari ni Kerajaan umumkan rakyat yang layak kena daftar melalui BUDI Madani pula untuk dapat subsidi, RM200 sebulan.
"Habis tu, data PADU tu jadi apa? Kenapa tak dipakai untuk dapat subsidi ni? Kenapa rakyat kena daftar lagi," soalnya pada hantaran di media sosial.
Sebelum ini, Kementerian Kewangan berkata, penerima yang layak akan menerima RM200 sebulan sejajar dengan subsidi diesel bersasar.
Pemilik kenderaan diesel persendirian boleh memohon melalui kategori BUDI Individu manakala pekebun kecil boleh memohon melalui BUDI Agro-Komoditi, katanya.
Sementara itu, Afnan berkata, ramai pekebun kecil tidak akan dapat menuntut subsidi berkenaan kerana kriteria memerlukan jualan pertanian tahunan antara RM50,000 dan RM300,000.
"Tak cukup dengan itu, petani tadi mesti ada pendapatan sekurang-kurangnya RM4,166 sebulan. Atau RM50,000 setahun. (Syarat untuk layak dapat subsidi, mesti ada pendapatan RM50,000-RM300,000 setahun, itu yang depa maklum).
"Kalau tauke-tauke, senang-senanglah depa (mereka) dapat jumlah sebanyak tu. Tapi kalau petani di kampung yang jual di pasar pagi, di pekan hari, di tepi jalan, tak mudah nak dapat jumlah sebanyak itu. Bahkan ada yang tak pernah dapat jumlah sebanyak tu sebulan.
"Soalannya, siapa yang sebenarnya yang dapat manfaat besar daripada penyasaran subsidi ni? Tauke besar atau kuli di kampung," soalnya lagi.
Selain itu, Afnan turut menyindir mengenai komunikasi rentas kementerian dalam pentadbiran kerajaan dan penyelarasan antara Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi.
Ketua Pemuda PAS itu merujuk jawapan parlimen daripada Menteri Ekonomi Rafizi Ramli yang mengatakan PADU akan menjadi sistem di semua kementerian untuk mengeluarkan subsidi dan bantuan lain kepada rakyat Malaysia.
"Tak bincang bagi elokkah antara menteri kewangan dengan menteri ekonomi? Sesama hangpa (kamu semua) ni tak ada group WhatsApp kah?
"Atau menteri ekonomi tu dah left group WhatsApp," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram