Permohonan subsidi diesel, Budi Madani RM200 sebulan dibuka Selasa


  • Primer
  • Isnin, 27 Mei 2024

Kerajaan memberi bantuan subsidi diesel RM200 kepada individu yang layak bermula Selasa. — Gambar Hiasan

KEMENTERIAN Kewangan pada Isnin mengumumkan pelaksanaan Program Bantuan Subsidi Madani atau Budi Madani yang menyaksikan RM200 akan diberikan kepada individu yang layak serta pekebun kecil pertanian dan komoditi setiap bulan, dibuka pada Selasa.

Penerima yang layak akan disalurkan Budi Madani sebanyak RM200 sebulan seiring dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Kementerian itu berkata, program Budi Madani itu layak kepada mana-mana rakyat Malaysia yang mempunyai pendapatan tahunan individu atau pasangan RM100,000 ke bawah, dan yang memiliki kenderaan peribadi berasaskan diesel di bawah usia kurang daripada 10 tahun.

BACA LAGI: PRK Sg Bakap: BN jamin bantu calon Perpaduan — Ahmad Zahid

BACA LAGI: JKM kesan waris bayi perempuan ditinggalkan tepi jalan di Gua Tempurung

PUTRAJAYA, 26 Jan -- Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada sidang media di Kementerian Kewangan hari ini.Beliau berkata penjawat awam skim berpencen sedia ada tidak terkesan dengan sistem saraan perkhidmatan awam yang akan dimuktamadkan. --fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA

Amir Hamzah berkata, Program Budi Madani melengkapi usaha sedia ada Kerajaan dalam menyasarkan subsidi diesel melalui sistem MySubsidi Diesel. — The Star

Kenderaan mereka juga mesti berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan mempunyai cukai jalan yang aktif.

Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pemilik kenderaan diesel persendirian berdasarkan kriteria kelayakan tertentu boleh membuat permohonan di bawah kategori Budi Individu.

Manakala, petani kecil dan pekebun kecil boleh memohon di bawah kategori Budi Agri-Komoditi.

“Pelaksanaan susulan kenyataan Perutusan Negara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minggu lalu berhubung keputusan Jemaah Menteri untuk melaksanakan penyasaran subsidi bahan api diesel melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Bagi kategori Budi Individu, pemohon mestilah warganegara Malaysia, memiliki kenderaan diesel persendirian yang berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan selain kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun.

Kenderaan dimiliki mempunyai cukai jalan yang aktif dan pendapatan tahunan individu atau pasangan RM100,000 dan ke bawah.

Manakala, bagi Budi Agri-Komoditi, pemohon mestilah berdaftar sebagai petani atau pekebun kecil dengan agensi yang berkaitan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atau Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

Pemohon merupakan petani atau pekebun kecil komoditi yang aktif dengan hasil jualan pertanian tahunan antara RM50,000 dan RM300,000.

“Setiap permohonan yang diterima akan disemak silang dengan data di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) bagi mengecualikan pemilik kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun dan individu berpendapatan tinggi (T20),” katanya.

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian di laman web https://budimadani.gov.my yang akan dibuka sepanjang tahun.

Bagi permohonan yang dibuat dan diluluskan sebelum 3 Jun akan menerima Budi Madani pertama menjelang pertengahan Jun dan bantuan seterusnya akan disalurkan secara bulanan.

Manakala, bagi permohonan yang diluluskan selepas 3 Jun akan menerima Budi Madani pertama dalam tempoh dua minggu dan seterusnya secara bulanan.

Budi Madani akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima setiap bulan, manakala penerima tanpa akaun bank boleh menuntut Budi Madani secara tunai di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh Semenanjung Malaysia.

Amir Hamzah berkata, Program Budi Madani melengkapi usaha sedia ada Kerajaan dalam menyasarkan subsidi diesel melalui sistem MySubsidi Diesel kendalian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Setakat ini, hampir 90,000 fleet card dikeluarkan kepada syarikat di bawah sektor pengangkutan awam darat dan sektor pengangkutan barangan darat.

“Seperti yang sering kali ditekankan oleh Perdana Menteri, penyasaran subsidi diesel merupakan antara langkah reformasi fiskal di bawah kerangka Ekonomi MADANI, bagi membina kemampanan kewangan Kerajaan serta Malaysia yang lebih berdaya saing.

“Ikhtiar Budi Madani mencerminkan usaha bersepadu jentera Kerajaan Madani dalam memastikan mekanisme penyasaran subsidi diesel adalah komprehensif, cekap dan berkesan supaya sektor logistik dan majoriti rakyat terus dilindungi,” tambahnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram