KEHADIRAN sebahagian peniaga warga asing tanpa permit di ibu kota bukan hanya membimbangkan penduduk, malah turut menjejaskan operasi harian golongan peniaga tempatan.
Selain tahap kebersihan yang semakin merosot, isu keselamatan juga menjadi topik hangat dalam kalangan para peniaga di sekitar ibu kota.
Seorang peniaga tempatan yang enggan mendedahkan namanya mengakui bahawa dia agak terkesan dengan lambakan peniaga warga asing terutamanya di kawasan Lebuh Pudu.
Bercerita kepada Majoriti, wanita berusia dalam lingkungan 40-an itu turut mendakwa perniagaannya pernah beberapa kali diganggu dengan pelbagai cara.
"Antaranya payung niaga saya pernah dirosakkan dan tapak niaga pula dikotorkan. Saya pun tidak apa motif mereka, mungkin sebab dengki,” katanya yang sudah enam tahun berniaga di situ.
PBT diharapkan dapat menggubal undang-undang yang lebih tegas untuk mengawal kehadiran penjaja warga asing di sekitar ibu kota.
Ditanya sama ada pernah membuat laporan kepada pihak berkuasa berhubung gangguan tersebut, ibu kepada seorang cahaya mata itu hanya memberitahu dia tidak berani, kerana bimbang akan diganggu dengan lebih teruk.
"Saya pernah jatuh sakit dan terpaksa berhenti berniaga seketika angkara peniaga warga asing lain.
"Kalau nampak bines kita okay, mulalah nak guna ilmu hitam. Memanglah nampak macam tahyul tapi itu realiti yang terjadi.
"Golongan ini sukar ditegur, nanti mereka sesama warga asing akan 'kenakan' kita balik," katanya.
Seorang lagi peniaga tempatan yang hanya ingin dikenali sebagai Siti Saidah, 50, turut meluahkan kebimbangannya terhadap lambakan peniaga warga asing tanpa permit ketika ini.
Ujarnya, situasi itu juga menyebabkan segelintir pelanggan berasa takut dan bimbang untuk mendekati gerainya yang sudah bertapak di lokasi itu selama hampir satu dekad.
"Kita dikelilingi oleh 'orang' mereka, jadi orang tempatan dan pelancong lain takut nak dekat dengan tapak niaga kami.
“Mereka dan pelanggan mereka juga ada kalanya agak biadap dan tidak mempedulikan kebersihan, dengan meludah sisa sirih di merata-rata tempat. Sangat menjijikkan!" adunya lagi.
Siti Saidah pada masa sama turut berharap agar pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan dapat menggubal undang-undang yang lebih tegas untuk mengawal situasi itu.
"Kalau setakat sita sahaja, mereka masih berani buka tapak niaga, kena ada alternatif lain yang patut dibuat,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram