[VIDEO] Lori roro langgar lampu merah, 2 rider di simpang tiga selisih maut lepas hampir kena gilis di Shah Alam


  • Tular
  • Jumaat, 31 Mei 2024

Tangkap layar video memaparkan insiden kemalangan melibatkan dua motosikal bersama sebuah lori di Shah Alam pada Khamis.

TINDAKAN tidak bertanggungjawab seorang pemandu lori melanggar lampu merah nyaris menyebabkan tragedi selepas kenderaan terbabit melanggar dua motosikal yang sedang berada di persimpangan tiga terbabit.

Video mengenai kejadian yang melibatkan sekurang-kurangnya tiga kenderaan terdiri daripada dua motosikal itu dirakam oleh kamera papan pemuka atau dashcam kereta yang berada di lokasi dan tular di media sosial sejak Jumaat.

Difahamkan, kejadian terbabit berlaku di Alam Budiman, Shah Alam, Selangor.

BACA LAGI: Usia 60 tahun tak jadi penghalang, anak Sarikei jadi orang Sarawak pertama tawan Everest

BACA LAGI: Kerajaan tidak akan perkenal cukai baharu — Anwar

Berdasarkan klip berdurasi 42 saat itu, beberapa kenderaan termasuk seorang penunggang p-hailing dilihat baru bergerak memasuki sebuah simpang jalan selepas lampu bertukar hijau.

Bagaimanapun, sebuah lori yang membawa muatan tong roro kemudiannya dilihat secara tiba-tiba meneruskan perjalanan dari arah kanan.

Situasi itu menyebabkan penunggang motosikal paling hadapan di lorong terbabit membrekkan motosikalnya sehingga tergelincir jatuh di tengah-tengah simpang terbabit, hanya beberapa meter daripada lori berkenaan.

Pada masa sama, lori berkenaan juga kemudiannya terbabas sebelum melanggar sebuah lagi motosikal yang sedang menunggu lampu merah di arah laluan bertentangan.

Penunggang terbabit bagaimanapun bernasib baik selepas dia dilihat berjaya turun dari motosikalnya di saat-saat akhir sebelum ia dilanggar oleh lori terbabit.

Kenderaan berat itu seterusnya terbabas dan berhenti selepas berlanggar dengan besi penghalang di tepi jalan.

Berdasarkan klip terbabit, kedua-dua penunggang motosikal berkenaan dilihat terselamat dan tidak mengalami kecederaan yang mengancam nyawa.

Bagaimanapun, jumlah sebenar dan status kecederaan mangsa yang terlibat dalam nahas itu tidak dapat dipastikan.

Tarikh pada video berkenaan memaparkan insiden itu berlaku pada Khamis sekitar pukul 1.47 tengah hari.

Setakat laporan ini ditulis, pihak polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram