[VIDEO] Letak serpihan kaca dekat tayar taktik terkini penyamun, 'single driver' diminta waspada


  • Tular
  • Isnin, 03 Jul 2023

Tangkap layar video memaparkan seorang individu menemui beg kertas berisi serpihan kaca yang diletakkan di bawah kereta.

PELBAGAI kaedah digunakan oleh penjenayah untuk menjalankan aktiviti menyamun atau mencuri kereta.

Terbaharu, seorang pengguna TikTok berkongsi satu video mendakwa terdapat satu taktik baharu yang digunakan openyamun untuk memperdaya mangsa.

Video berdurasi seminit 14 saat tersebut dimuat naik di laman TikTok @Naufal96 pada Ahad, sebelum ia menjadi tular.

Dia mendakwa, ada individu dengan sengaja meletakkan beg kertas berisi serpihan botol kaca di bawah kereta yang diparkir di hadapan sebuah pasar raya.

Kejadian itu difahamkan berlaku di Parking Jaya Grocer, Eco Ardence, Setia Alam, Selangor sekitar pukul 7.48 malam pada Ahad.

“Pertama kali parkir hujung-hujung kawasan pengecas untuk kenderaan EV (kenderaan elektrik) sebab hari ini parkir penuh.

“Ada orang dengan sengaja meletakkan (serpihan) botol kaca dalam beg ni dan letak bawah (kereta).

“Masa mula-mula masuk (parkir), tidak ada apa-apa pun, tiba-tiba semasa nak reverse, (saya) terdengar bunyi kaca. Nasib baiklah tayar tak bocor,” katanya menerusi rakaman tersebut.

Selain diletakkan di dalam beg kertas, turut kelihatan kaca-kaca bertaburan di bawah kereta berkenaan.

Individu tersebut dalam pada itu turut mengingatkan orang ramai supaya lebih berwaspada ketika meletakkan kenderaan di lokasi berkenaan dan sentiasa mengawasi persekitaran terlebih dahulu sebelum bergerak keluar daripada tapak parkir.

“Ini pertama kali kena, nasib baik mission failed, tidak ada apa-apa yang rosak. Siapa yang parkir di sini berhati-hatilah. Macam-macam cara orang nak khianat kita,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram