[VIDEO] Polis Purbalingga pening rungkai misteri kubur pelajar perempuan digali lepas sehari dikebumi


  • Benua
  • Selasa, 21 Mei 2024

Sebuah kubur yang menempatkan jenazah seorang gadis digali semula selepas sehari disemadikan. — Agensi

PENDUDUK sebuah kampung di Purbalingga, wilayah Jawa Tengah, Indonesia gempar selepas sebuah kubur seorang gadis digali semula kurang daripada 24 jam oleh pihak tidak bertanggungjawab dan tanahnya dibiarkan bertaburan.

Berdasarkan keterangan yang tular di laman sosial, jenazah bagaimanapun tidak dicuri pihak tidak bertanggungjawab itu kerana tanah baru sahaja digali sedalam satu meter.

Ketua polis tempatan, Asisten Komisioner Muslimun berkata, insiden itu disedari penduduk setempat pada pagi Isnin sebelum mereka membuat laporan polis.

BACA LAGI: Hampir 10,000 pelajar sudah sertai MYFutureJobs CEP anjuran PERKESO, 522 buah sekolah bakal miliki peluang sama

BACA LAGI: [VIDEO] Putin guna jet pengiring lepas jadi sasaran ketika hadiri majlis pengebumian Presiden Iran

“Memang benar, ada kubur yang dirosakkan, namun jenazah dalam keadaan baik. Kubur itu baru berusia sehari, manakala Allahyarhamah ialah gadis berusia 19 tahun yang baru meninggal dunia pada hari sebelumnya,” ujar Muslimun.

Menurut penduduk, kubur itu milik gadis berusia 19 tahun yang baru dikebumikan sehari sebelumnya merupakan seorang pelajar semester dua Fakulti Kedoktoran Universiti Muhammaddiyah Yogyakarta.

Tambahnya, jenazah yang ditanam sedalam kira-kira dua meter berada dalam keadaan tidak terusik dengan papan digunakan untuk menutup dalam keadaan elok.

Polis masih memburu pelaku yang merosakkan kubur tersebut, manakala penduduk setempat membersihkan semula kubur itu dan menimbus tanah.

Malah motif pelaku berbuat demikian juga mengundang persoalan kepada pihak polis untuk menyiasat kes tersebut.

Difahamkan juga, ahli keluarga jenazah itu mengambil keputusan untuk menjaga kubur tersebut sepanjang minggu ini bagi mengelakkan kejadian sama berulang. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram