Mungkin alami stres, lelaki hilang di Batang Kali lepas keluar ke kedai


  • Massa
  • Khamis, 30 Mei 2024

Mohammad Azharudin yang kini sudah tidak bekerja selepas berhenti daripada menjadi pemandu syarikat penghantaran barangan sejak Mei lalu juga tidak menunjukkan sebarang petanda atau sikap pelik sebelum hilang pada hari tersebut.

SEORANG lelaki yang juga pesakit mental dikhuatiri hilang selepas keluar dari rumahnya di Bandar Utama Batang Kali, Batang Kali, Selangor pada pukul 11 malam Selasa.

Mangsa, Mohammad Azharudin Mohamad Ayubkhan, 35, dilaporkan kali terakhir dilihat keluar dari kediamannya untuk pergi ke kedai untuk membeli rokok dengan menaiki motosikal jenis Honda Wave berwarna biru hitam.

Bagaimanapun, dia kemudiannya tidak pulang ke rumah dengan ketiadaannya mula disedari oleh ahli keluarga pada pukul 5 pagi Rabu.

BACA LAGI: Penjimatan subsidi sahaja tidak cukup, perlu ada rombakan sistem percukaian — Pakar ekonomi

BACA LAGI: Malaysia tak cukup pakar pokok — PArM

Menurut adik iparnya, Akhbar Hussain Haja Maideen, mangsa sebelum ini kebiasaannya akan pulang ke rumah pada waktu awal pagi selepas keluar pada lewat malam sebelumnya.

"Sebelum ini dia memang pernah keluar rumah, tapi tak pernah lama macam ini. Biasa dia keluar malam pagi itu dia dah balik kebiasaannya.

"Tapi bila pagi Rabu itu, kami tunggu sampai lepas zuhur pun dia tidak balik lagi," katanya kepada Majoriti.

Akhbar berkata, pada hari kehilangannya, mangsa sebelum itu pergi untuk ke Hospital Kuala Kubu Bharu (KKB) untuk melakukan pemeriksaan bulanan berhubung masalah kesihatan mental dialaminya sejak tujuh tahun lalu.

Ujarnya, Mohammad Azharudin yang kini sudah tidak bekerja selepas berhenti daripada menjadi pemandu syarikat penghantaran barangan sejak Mei lalu juga tidak menunjukkan sebarang petanda atau sikap pelik sebelum hilang pada hari tersebut.

Namun, Akhbar tidak menolak kemungkinan bahawa abang iparnya itu berkemungkinan mengalami stres selepas seminggu menyambut kelahiran anak pertama bersama isterinya yang kini sedang berpantang di kampung keluarga mentuanya di Mentakab, Pahang.

Dalam pada itu, kehilangan mangsa turut dikongsikan di Facebook Balai Polis Batang Kali pada Khamis.

Akhbar berkata, pihaknya akan membuat laporan polis pada Khamis malam sekiranya abang iparnya itu masih tidak ditemui.

Ujarnya, ketika ini, usaha pencarian sudah pun dilakukan di sekitar KKB dan Rasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram