SEORANG remaja lelaki yang dilaporkan hilang ketika mendaki di Bukit Broga, Semenyih, Selangor pada Isnin ditemukan meninggal pada Selasa.
Mangsa, Adi Putra Effendi, 16, difahamkan ditemui oleh pasukan bomba dan sukarelawan sekitar pukul 3.42 petang dan disahkan maut di lokasi kejadian.
Perkongsian warga maya di laman media menjelaskan bahawa kematian itu dipercayai berpunca akibat mangsa terjatuh ketika mencari ibu bapanya.
BACA LAGI: Remaja perempuan hilang lepas naik teksi e-hailing ke tempat kerja di Ipoh
BACA LAGI: Mohon bantuan lelaki misteri, gadis Ranau hilang rupanya cari kerja kerana mahu beli telefon pintar
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Wan Razali Wan Ismail berkata, sepasukan anggota dari BBP Semenyih bersama polis, malim gunung, renjer hutan, Angkatan Pertahanan Malaysia dan bomba sukarela telah digerakkan ke lokasi.
"Gerakan mencari dan menyelamat merangkumi pencarian puncak satu hingga puncak tiga dengan keluasan 1.5 kilometer.
"Pasukan penyelamat telah menemui mangsa pada jarak 100 meter dari pintu gerbang Bukit Broga pukul 2.50 petang tadi," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Jelasnya, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri kerana dipercayai jatuh gaung pada kedalaman 10 meter dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan pukul 3.42 petang.
Jenazah Adi Putra Effendi ditemukan meninggal kira-kira pukul 4.30 petang Selasa. — Ihsan bomba
Turut berkongsi kisah duka itu, Ketua Umno Bahagian Hulu Langat, Datuk Wira Haji Johan Abd Aziz menyampaikan ucapan takziah menerusi laman Facebook peribadinya pada Selasa.
"Mendapat perkhabaran duka, remaja yang dilaporkan hilang di Bukit Broga semenjak petang semalam (Isnin) iaitu adik Adi Putra Effendi telah pun ditemui.
"Semoga ALLAH merahmati rohnya, memuliakan kematiannya, mengampuni segala kesalahannya, menjadikan syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan menempatkan arwah di kalangan orang-orang yang beriman," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram