Sijil cuti sakit Hospital Tangkak hilang, tak sah diguna pakai


  • Primer
  • Ahad, 26 Mei 2024

Pada Sabtu, satu notis pemakluman dikeluarkan Pengarah Hospital Tangkak berhubung kehilangan sijil cuti sakit milik hospital berkenaan.

PENGARAH Kesihatan Negeri Johor, Dr Mohtar Pungut @ Ahmad berkata, pihaknya sudah membuat laporan polis bagi mengelakkan penyalahgunaan sijil cuti sakit yang hilang itu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Ia susulan kejadian kehilangan sijil cuti sakit seperti yang berlaku di Hospital Tangkak, Johor baru-baru ini.

Ekoran kejadian itu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengambil tindakan penambahbaikan segera agar kejadian seperti itu tidak berulang.

BACA LAGI: Bekas penyanyi, Nabil Zamanhuri meninggal dunia di Hospital Ampang

BACA LAGI: KTMB sedia 4 tren tambahan sempena Aidiladha

Cuti Sakit

Tangkap layar akaun FB Hospital Tangkak yang berkongsi mengenai kehilangan sijil cuti sakit.

"Kita mengambil maklum berkaitan isu tular di laman media sosial dan akhbar berhubung kehilangan sijil cuti sakit Hospital Tangkak.

"Kita mengesahkan kehilangan sijil cuti sakit dengan nombor siri HTGKF 896400 di Hospital Tangkak dan laporan polis sudah dibuat bagi mengelakkan penyalahgunaan sijil ini oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Pengurusan Hospital Tangkak sedang menjalankan siasatan berkaitan insiden ini dan tindakan susulan selepas kehilangan itu dilaksanakan mengikut tatacara seperti mana termaktub dalam arahan perbendaharaan.

"Berikutan insiden ini, tindakan penambahbaikan segera juga sudah dilakukan supaya kejadian sama tidak akan berulang," katanya.

Sementara itu, Dr Mohtar menasihatkan orang ramai supaya melaporkan kepada JKNJ sekiranya ada menerima sijil cuti sakit dengan nombor siri berkenaan.

Pada Sabtu, satu notis pemakluman dikeluarkan Pengarah Hospital Tangkak berhubung kehilangan sijil cuti sakit milik hospital berkenaan.

Notis pemakluman yang dimuat naik di Facebook Hospital Tangkak 'Official' itu kemudian dikongsi dan tular.

Turut dimaklumkan, sijil cuti sakit dengan nombor siri terbabit tidak sah diguna pakai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram