SEORANG pempengaruh TikTok dikecam hebat apabila tular video memaparkan dia dan rakannya melangkah sebuah pusara di lokasi tanah perkuburan Islam dengan perbuatan mereka seakan-akan mempersendakan agama.
Video berdurasi 38 saat itu menunjukkan dua gadis sedang berjalan-jalan di kawasan perkuburan dan dengan sengaja ingin mencuba memanggil roh dari alam ghaib untuk mengikutinya dengan cara melangkah kubur.
"Selalu orang cakap kalau kita langkah kubur, malamnya tuan kubur cari kita, selalu aku dengar. Kalau kau takkan tak marah orang langkah kubur kau," kata seorang wanita menerusi rakaman video berkenaan.
BACA LAGI: [VIDEO] Aspek hukum kes 2 wanita langkah kubur dirujuk kepada Jakim, Jabatan Mufti
BACA LAGI: Ikhtiar cari orang hilang di hutan, ada baiknya jaga adab dan masa afdal solat hajat
Setelah itu, wanita dalam video terbabit terus melangkah kubur berkenaan dengan bangganya sambil bergelak ketawa.
Mengulas mengenai isu tersebut, bekas Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, dakwaan mengenai seseorang yang meninggal dunia akan datang mencari individu yang melangkah kuburnya hanyalah sesuatu hal yang bersifat khurafat.
"Kepercayaan mengenai roh datang pergi jumpa seseorang yang melangkah kuburnya itu tidak terdapat dalam ajaran Islam.
"Itu hanyalah kepercayaan agama lain, jadi kalau ternampak ada individu yang menyerupai mayat tersebut itu mungkin hantu dan bukanlah roh berkenaan," katanya.
Bagaimanapun, Abdul Rahman menegaskan agar umat Islam tidak melakukan tindakan yang bercanggah dengan ajaran Islam.
"Hukum melangkah kubur adalah tidak dibenarkan kerana menunjukkan kita tidak menghormati si mati dan akan mengundang kemarahan keluarga.
"Bagaimana kalau kubur ibu bapa kita orang langkah, pastinya kita marah," katanya.
Umat Islam perlulah menjaga tingkah laku ketika berada di tanah perkuburan. — Gambar Hiasan
Dalam perkembangan sama, pempengaruh itu, Keknan menerusi laman TikTok berkata, kubur yang dipaparkan dalam video tersebut hanyalah sebuah kubur palsu dan rekaan semata-mata bagi tujuan pemasaran.
Keknan turut berkata, pihaknya sedang menjalani proses penggambaran filem pendek mengenai dua sahabat yang tidak mempercayai makhluk halus dan cuba untuk memuja roh atau jin.
“Ketika itu, kami baharu sahaja rekod bahagian tersebut untuk filem pendek yang ditayangkan di YouTube, jadi kami buat kubur, di dalamnya tak ada orang. Ia hanya tanah lapang.
"Kami korek dan pacak nisan menampakkan macam kubur, memang untuk tujuan penggambaran,” katanya menerusi hantaran di TikTok pada Sabtu.
Bercakap soal itu, Abdul Rahman berpendapat bahawa tidak seharusnya umat Islam melakukan lakonan sebegitu.
"Dalam hal-hal berlakon ini, sepatutnya umat Islam menunjukkan sesuatu adegan yang membawa keinsafan.
"Nabi suruh ziarah kubur supaya boleh tambah keinsafan dalam diri kita. Kita tidak boleh buat benda yang berjanggah," katanya.
Abdul Rahman turut mengingatkan umat Islam agar menjaga adab ketika berada di kubur.
Ini kerana, Abdul Rahman berkata, roh si mati mampu mendengar apa yang diperkatakan kepada mereka.
Memetik Riwayat dari Ibnu Abbas R.A.:
عن النبي الله صلى الله عليه وسلم:
(ما من أحد مر بقبر أخيه المؤمن كان يعرفه في الدنيا, فسلم عليه, إلا عرفه ورد عليه السلام)
رواه ابن عبد البر في "الاستذكار"
Maksudnya: Dari Nabi Muhammad S.A.W “Tiada dari seorang yang lalu pada kubur saudaranya yang mukmin yang adalah di dunia dia mengenalinya lalu memberi salam ke atasnya melainkan mayat mengenalinya dan menjawab atasnya akan salam.” [Hadith Ibnu Abdil Barri] — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram