'Morally wrong' sebab janji Pakatan Harapan nak hapus rundingan terus sebelum jadi kerajaan — MCW


  • Massa
  • Khamis, 30 Mei 2024

Exco Selangor berkata, penglibatan Asia Mobility di dalam projek rintis DRT adalah dibuat secara RfP atau permintaan untuk cadangan dan bukan menerusi rundingan terus seperti yang didakwa. — Gambar hiasan

MESKIPUN tidak salah dari segi undang-undang, proses pemberian tender di dalam projek rintis Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh kerajaan negeri Selangor yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini disifatkan bertentangan dengan prinsip diperjuangkan khususnya oleh Pakatan Harapan (PH).

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, Kerajaan Perpaduan yang turut dibarisi oleh gabungan PH dilihat masih bergelut untuk melaksanakan pembaharuan institusi yang dilaungkan sebelum ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kontroversi penganugerahan tender di dalam projek rintis DRT yang turut melibatkan syarikat dimiliki Ramachandran Muniandy, suami kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

BACA LAGI: Penjimatan subsidi sahaja tidak cukup, perlu ada rombakan sistem percukaian — Pakar ekonomi

BACA LAGI: Malaysia tak cukup pakar pokok — PArM

"Perkara ini bagi saya adalah satu perkara yang daripada segi undang-undang kalau dalam bahasa Inggeris disebut 'legally right but morally wrong'.

"'Morally wrong' kerana janji PH sebelum mendapat menjadi pemerintah mereka nak hapuskan semua rundingan terus dan menjadikan semuanya tender terbuka.

"Tapi sehingga dua tahun kerajaan PH menubuhkan Kerajaan Perpaduan, ini nampaknya belum lagi berlaku dan perkara-perkara lama seperti direct award (penganugerahan terus) terus berlaku," katanya kepada Majoriti.

320713213_470594745030066_5864243551248531165_n

Presiden MCW, Jais Abdul Karim

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini memaklumkan, tiada sebarang kesalahan dikesan berhubung penganugerahan kontrak Kerajaan Selangor kepada Ramachandran yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobilitiy).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, berdasarkan laporan media diterima pihaknya, kontrak itu diberikan oleh entiti lain yang tidak mempunyai kaitan dengan tugas dan tanggungjawab Hannah selaku Menteri Belia dan Sukan.

Namun pada Rabu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menafikan wujud penyerahan projek secara terus kepada syarikat milik Ramachandran.

Malaysian Anti-Corruption Commission deputy chief commissioner (operation) Datuk Seri Azam Baki.MOHD SAHAR MISNI/The Star

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki

Dalam pada itu, pada Rabu juga, Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, penglibatan Asia Mobility di dalam projek rintis DRT adalah dibuat secara Request-for-Proposal (RfP) atau permintaan untuk cadangan dan bukan menerusi rundingan terus seperti yang didakwa.

Beliau dilaporkan berkata, dakwaan mengatakan Asia Mobility merupakan satu-satunya syarikat yang dipilih juga tidak benar.

Ini kerana sebuah lagi syarikat iaitu Badan Bas Coach Sdn Bhd turut diberi peluang melaksanakan POC dan kerajaan negeri juga sedang melihat kepada satu lagi permohonan syarikat untuk terlibat sama dalam proses itu bagi fasa seterusnya.

Ng berkata, peruntukan disalurkan kepada kedua-dua syarikat terlibat untuk memberikan subsidi kepada setiap pengguna yang menaiki bas berkenaan adalah sama rata iaitu RM2.1 juta bagi sepanjang tempoh pelaksanaan POC.

Menurutnya yang juga yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara, bayaran itu juga tidak disalurkan secara sekali gus sebaliknya dibuat melalui tiga fasa untuk memastikan tiada penyalahgunaan peruntukan negeri.

Dalam pada itu, Jais berkata, untuk meningkatkan lagi integriti dan ketelusan pentadbiran negara, beliau berpendapat bahawa ahli keluarga kepada ahli politik berkaitan perlu membuat pemakluman kepada SPRM sekiranya mereka memperoleh sebarang projek daripada kerajaan.

“Langkah ini juga akan membantu mengurangkan risiko konflik kepentingan dan memastikan setiap urusan dilakukan dengan penuh kebertanggungjawaban.

“MCW juga yakin langkah tersebut secara tidak langsung dapat memperkukuhkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan dan awam terutamanya dalam amalan tadbir urus yang baik," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram