SPRM sudah teliti dan periksa, tiada kes libat suami Hannah Yeoh — Azam Baki


  • Primer
  • Selasa, 28 Mei 2024

Azam ditemui ketika taklimat eksekutif SPRM bersama editor kanan media online di sebuah hotel di Putrajaya pada Selasa. — NAN HIDAYAT NAN AZMIE

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan sudah meneliti dan memeriksa hal berkaitan pemberian kontrak kerajaan negeri Selangor kepada suami Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Pada masa sama, beliau juga bersedia memberikan penjelasan berhubung perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jika perlu.

"Sudah tentu, segala yang berkaitan akan ditunjukkan (kepada Anwar). Seperti yang saya katakan sebelum ini, ia tiada kaitan untuk memulakan siasatan," katanya ketika taklimat eksekutif SPRM bersama editor kanan media online di sebuah hotel di Putrajaya pada Selasa.

BACA LAGI: Tiada kesalahan Selangor beri projek kepada syarikat suami Hannah Yeoh — Azam Baki

BACA LAGI: Faisal Halim cergas, teruja jalani fisioterapi — Hannah Yeoh

Azam berkata demikian ketika mengulas kenyataan Anwar yang menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa membabitkan isu penganugerahan kontrak kepada suami Hannah, Ramachandran Muniandy.

Anwar yang juga Menteri Kewangan pada Selasa berkata, siasatan perlu dijalankan dengan telus sekiranya terdapat sebarang laporan mengenai penganugerahan kontrak tersebut.

Terdahulu pada Isnin, Azam berkata, tender itu diberikan oleh satu entiti lain yang tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan tugas dan tanggungjawab menteri berkenaan.

“Tugas Hannah Yeoh adalah sebagai Menteri Belia dan Sukan, beliau tidak ada kaitan dengan Kerajaan Selangor.

“Saya nampak tidak ada kaitan Kerajaan Selangor dengan Kementerian Belia dan Sukan. Buat masa ini saya tidak nampak ada sebarang kesalahan," kata Azam.

Mengulas lanjut, Azam turut mempertahankan tindakannya membuat kenyataan segera berhubung isu tersebut meskipun dikritik beberapa pihak.

"Selepas buat laporan awal dan rasa tiada kes, saya perlu jelaskan kerana pihak terlibat terkesan dengan berita sebegitu," katanya.

Pada masa sama, Azam juga menegaskan SPRM tidak melihat ada kesalahan dibuat memandangkan tiada unsur salah guna kuasa melibatkan Hannah berhubung kontrak yang diterima suaminya.

"SPRM bukan entiti politik dan perlu berpegang kepada fakta kes, dan jika anda atau ahli politik mahu kata ia kesalahan moral, terpulang kerana SPRM tidak menyebelahi sesiapa," tegas beliau.

Pada Jumaat lepas, Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, Asia Mobility dan Badan Bas Coach (syarikat yang dikaitkan dengan suami Hannah) telah dipilih menjalankan sistem pengangkutan awam bagi batuan pertama dan terakhir di negeri itu.

Ng Sze Han berkata, keputusan itu dibuat selepas pembentangan kepada jawatankuasa pengangkutan negeri dan berdasarkan pengalaman mereka melaksanakan konsep tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram