POLIS mengesahkan kenderaan MPV Toyota Estima digunakan suspek pecah masuk rumah pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee pada 23 Mei lepas menggunakan nombor plat palsu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya mendapati kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Menurutnya, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut dan sedang mengesan kesemua suspek terbabit.
“Siasatan masih berjalan dan keterangan tujuh individu telah diambil setakat ini,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Terdahulu, tular video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan kegiatan samun di kediaman pemain kebangsaan itu.
Suspek dipercayai menggunakan Toyota Estima untuk keluar dari pintu pengawal keselamatan sebelum sebuah motosikal jenama Y15ZR dipercayai milik Khuzaimi, turut kelihatan dilarikan seorang lelaki ketika kejadian.
Untuk rekod, Majoriti sebelum ini melaporkan rumah Khuzaimi Piee dipecah masuk dan kehilangan beberapa dokumen penting termasuk empat beg pelbagai jenama, passport dan sebuah motosikal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram