Anggota polis Ulu Tiram dibenar keluar hospital selepas 9 hari terima rawatan


  • 112
  • Isnin, 27 Mei 2024

Hasif Roslan (kanan) menerima rawatan selama sembilan hari di HSI, Johor Bahru.

ANGGOTA polis yang cedera ditembak dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada 17 Mei lalu sudah dibenarkan keluar.

Ia selepas Koperal Mohd Hasif Roslan menerima rawatan selama sembilan hari di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, Johor.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, anggota berusia 38 tahun itu berada dalam keadaan stabil dan masih memerlukan rawatan susulan.

BACA LAGI: Polis bebaskan 2 suspek pelajar IPT terlibat serangan Balai Polis Ulu Tiram tanpa syarat

BACA LAGI: Jangan simpati, kubur suspek serang Balai Polis Ulu Tiram perlu dijarakkan — Jawatankuasa Fatwa Johor

"Beliau ditembak dengan peluru menembusi bahagian bahu dan pinggul. Rawatan susulan pastinya ada daripada pihak hospital.

"Beliau juga diberikan cuti dua bulan secara berperingkat, bergantung kepada keadaan kesihatannya," katanya kepada pemberita.

Bapa kepada tiga anak itu akan kembali ke jawatannya di ibu pejabat polis Seri Alam sebaik pulih sepenuhnya.

Tambah Sohaimi lagi, anggota polis itu turut diberi kaunseling di hospital bagi mengurangkan traumanya akibat kejadian itu dan sesi tambahan akan diaturkan jika perlu.

"Pastinya insiden itu memberi trauma kepada Mohd Hasif, dan beliau juga mendapatkan rawatan kaunseling ketika di hospital. Sekiranya perlu, sesi kaunseling akan diberikan lagi," katanya.

Dalam serangan pada 2.45 pagi pada 17 Mei lalu, dua rakan setugasnya, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban akibat ditembak dan ditetak dalam serangan dilakukan seorang individu bertopeng yang turut maut dalam kejadian ini.

Dalam kejadian itu, tujuh individu termasuk lima sekeluarga suspek ditahan.

Jumaat lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, lima ahli keluarga lelaki itu disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). — The Star/Yee Xiang Yun

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram