Wanita terkejut anjing peliharaan tiba-tiba menyalak, rupanya jumpa mayat dalam longkang di Alor Setar


  • 112
  • Isnin, 27 Mei 2024

Mayat seorang lelaki berusia 58 tahun yang mempunyai sejarah penyakit Parkinson dan masalah mental ditemukan oleh orang awam tertiarap dalam longkang di Taman Derga Jaya, Alor Setar pada Ahad. — Awani

SEORANG wanita terkejut apabila anjing peliharaannya tiba-tiba menyalak sebaik tiba di kawasan longkang berair di Taman Derga Jaya, Alor Setar, Kedah ketika sedang bersenam pada Ahad.

Lee Ming Ching, 51, berkata, beliau kemudian menghampiri kawasan sebelum mendapati terdapat mayat seorang lelaki di bawah penutup besi longkang berkenaan.

Menurut laporan media, Ming Ching berkata, anjingnya menghidu sesuatu sebelum mengorek tanah di kawasan itu.

BACA LAGI: Polis buru suspek cetus kekecohan selepas perlawanan KL City dan JDT

BACA LAGI: Cap jari suspek simbah asid Faisal Halim tidak ada dalam rekod JPN

"Saya tak sedap hati dan menyangka anjing saya mengesan biawak dan berkelakuan pelik apabila enggan pulang walaupun sudah beberapa kali ditarik.

“Hairan dengan tingkah laku anjing, saya menjenguk di satu kawasan longkang berpenutup besi sebelum ternampak satu mayat lelaki dalam keadaan tertiarap,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner, Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu pada pukul 7.25 malam Ahad.

Sepasukan Unit Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dikerahkan ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan di kawasan penemuan mayat berkenaan.

Beliau berkata, saksi kejadian itu menemui mayat lelaki berkenaan pada pukul 6.30 petang sewaktu berjalan kaki sambil bersenam bersama anjingnya sebelum anjingnya tiba-tiba menyalak.

"Saksi kemudian menarik anjingnya untuk pulang tetapi haiwan peliharaannya itu terus menyalak dan membawanya semula ke longkang berkenaan.

"Saksi kemudian membuka penutup besi itu sebelum ternampak mayat lelaki dalam keadaan tertiarap dalam longkang berkenaan dan mendapatkan bantuan serta menghubungi polis,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Siti Nor Salawati berkata, isteri dan anak kepada mangsa kemudian tiba di tempat kejadian untuk mengecam mayat berkenaan sejurus selepas itu.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan anak mangsa, bapanya yang berusia 58 tahun itu menyerahkan semua barang peribadinya iaitu Mykad, kad bank serta beg duit kepada ibunya dan dipercayai keluar rumah sekitar pukul 3.30 petang semalam tetapi tidak memaklumkan hendak ke mana.

“Mangsa mempunyai sejarah sakit Parkinson dan mengalami masalah mental lebih kurang 13 tahun.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati tidak ada sebarang unsur jenayah ditemui terhadap mayat mangsa sebelum dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram