SEORANG nelayan di kawasan Sebuyau dekat Simunjan, Sarawak meluahkan rasa kecewa dengan pembinaan jeti nelayan tidak bertangga sehingga menyukarkan mereka untuk turun ke tapak melabuhkan sampan.
Abdul Rashid Abdul Wahab melalui hantaran di Facebook berkata, jeti tersebut merupakan projek luar bandar yang diluluskan baru-baru ini.
"Projek menjelang bulan Januari 2024 untuk nelayan di Kampung Sebuyau belum diberi tangga ke titian tapak pelabuhan.
"Macam mana nelayan nak turun atau naik? Bila ditanya kontraktor yang bertanggungjawab alasan mereka memang direka seperti itu," luahnya di laman Facebook miliknya pada Ahad.
Tambahnya lagi, ia bukan kali pertama berlaku dan di Sebuyau sahaja ada dua lagi jambatan yang sama direka seperti jambatan tersebut.
"Teruk, ini bukan kali pertama terjadi kontraktor bina jambatan seperti ini. Kalau nak bantu rakyat, tolong buat betul-betul.
"Jangan buat projek sekadar melepaskan batuk di tangga. Saya mohon kepada semua kontraktor untuk membina sebuah projek yang berkualiti, jangan kira untung sahaja," katanya lagi.
Abdul Rashid turut berharap pihak Pejabat Daerah Sebuyau dan Majlis Daerah Simunjan turun padang memantau projek tersebut.
Individu berkenaan turut memuat naik beberapa gambar yang menunjukkan projek jambatan nelayan tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, Rocky Alfred turut meluahkan perasaan kecewanya.
"Sebagai anak jati Sebuyau. Aku turut rasa kecewa, projek ini kalau tak silap aku memerlukan dana ratus ribu tapi sekali siap macam ini.
"Sepatutnya keselamatan rakyat diutamakan. Kontraktor mana ini? Cuba periksa lesen mereka," tulisnya.
Sementara itu, Sarawak Road Updates pula meninggalkan komen yang sinis melihat projek tersebut.
"Bukan jambatan untuk nelayan tetapi tempat ninja untuk training (latihan)," tulisnya.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak yang bertanggungjawab dengan projek pembinaan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram