Hilang momen terakhir bersama kawan antara kontra bila tarikh umum keputusan SPM 2023 tidak dipinda


  • Massa
  • Sabtu, 11 Mei 2024

Pengumuman keputusan SPM 2023 tetap dijadualkan pada 27 Mei ini. — Gambar hiasan/The Star

SELEPAS beberapa kali menerima gesaan untuk meminda tarikh pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akhirnya menetapkan 27 Mei ini sebagai tarikh rasmi.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, KPM mempunyai pandangan yang sama dan sejajar dengan banyak pihak perihal kebajikan serta kesejahteraan guru.

Ia ditetapkan demikian meskipun sebelum ini pelbagai pihak termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) memohon keputusan itu dipertimbangkan bagi memudahkan golongan guru yang sudah melakukan perancangan awal sempena cuti persekolahan yang bermula pada 25 Mei ini.

BACA LAGI: KPM pertimbang ubah tarikh umum keputusan SPM 2023

BACA LAGI: Tukar tarikh umum keputusan SPM ke 23 Mei demi mudahkan guru — NUTP

SMK Tengku Ampuan Rahimah SPM candidates at a classrooml for the SPM first day exsam in Klang yesterday. — KK SHAM/The Star

Calon SPM 2023 diberi pilihan untuk menyemak keputusan secara dalam talian. — Gambar hiasan/The Star

"Guru masih boleh terus menjalankan aktiviti yang dirancang semasa musim cuti sekolah ini.

"Dalam masa sama, ia turut mengambil kira perkara lain termasuk tarikh permohonan dan kemaskini Unit Pusat Universiti (UPU) dan lain-lain bagi tujuan kemasukan calon lepasan SPM pada peringkat lebih tinggi," katanya menerusi satu kenyataan di Facebook pada Jumaat.

Terdahulu, KPM memaklumkan, calon boleh menyemak keputusan mereka melalui myresultspm.moe.gov.my selain semakan melalui melalui mySMS dengan menaip SPM (jarak) MyKad (jarak) nombor indeks dan menghantarnya ke 15888 bermula pukul 10 pagi pada 27 Mei hingga 6 petang pada 2 Jun.

Perkara itu sekali gus memberi jawapan hampa kepada pihak yang mengharapkan agar pengumuman keputusan diawalkan.

Mengulas lanjut, seorang warga Facebook Shahid Ibnu Ahmad beranggapan bahawa terdapat beberapa kemungkinan buruk akan berlaku susulan keputusan muktamad KPM itu.

Kontra

1. Menghakis budaya memberi inspirasi atau contoh sesama pelajar

Kebiasaannya, pengumuman keputusan SPM pada hari persekolahan akan dilakukan secara beramai-ramai di dalam dewan sekolah.

Screenshot (1494)

Pelajar yang cemerlang akan memberi inspirasi kepada pelajar lain. — Gambar hiasan

Tetapi, memandangkan keputusan keluar ketika waktu cuti, ia berkemungkinan akan menghakis budaya memberi atau menunjukkan insipirasi dan contoh dalam kalangan pelajar.

Ia biasanya berlaku apabila mereka menyaksikan pelajar yang menerima keputusan cemerlang di atas pentas sekolah.

2. Hilang momen terakhir bersama rakan

Selain itu, perkara tersebut turut berkemungkinan menghapuskan momen-momen terakhir para pelajar SPM bersama rakan-rakan seperjuangan mereka.

IMG_1557

Momen terakhir bersekolah bersama rakan merupakan kenangan terindah buat pelajar SPM. — Gambar hiasan/wunnythetypewriter

Pada masa sama, tiada lagi ruang untuk mempromosi pameran pendidikan semasa hari bermakna itu kerana lazimnya sesetengah sekolah akan menjemput pihak universiti swasta atau awam membuka kiosk pameran di sekolah.

Ia bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar dan ibu bapa bagi menganalisis keputusan SPM yang diperolehi bersama penasihat atau pengawai universiti bertugas.

3. Merenggangkan hubungan antara guru dan pelajar

Memilih waktu cuti juga tanpa sedar boleh merenggangkan hubungan baik antara guru dan pelajar kerana tiada perjumpaan bersemuka secara fizikal.

Ia sekali gus membolehkan budaya hormat-menghormati kepada pendidik semakin hilang dalam kalangan pelajar.

Apabila kurangnya interaksi secara fizikal ketika momen bersejarah itu, maka tidak mustahil pelajar akan lebih cenderung untuk berdiam diri dan setakat memberi ucapan ringkas melalui platform media sosial. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram