Lahir dari sistem bola sepak Kelantan, Muhaimin Izuddin kecewa TRW tarik diri


  • Podium
  • Ahad, 26 Mei 2024

Muhaimin mewakili Kelantan dan menjadi antara individu yang terkesan dengan isu tunggakan gaji pada musim lalu.

BEKAS bintang The Red Warriors (TRW), Muhaimin Izuddin tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih mengenai isu penarikan diri pasukan negeri kelahirannya, Kelantan FC selepas gagal mendaftar nama pemain bagi mengharungi saingan Liga A1 Semi-Pro pada musim ini.

Muhaimin yang lahir daripada sistem bola sepak Kelantan juga reda akan isu tunggakan gaji pernah dialami beliau tidak selesai selepas tiada maklum balas dari pihak pengurusan Kelantan.

Untuk rekod, Muhaimin telah beraksi bersama Kelantan pada musim lalu dan mengalami episod hitam apabila tidak mendapat hak sebagai pemain profesional.

BACA LAGI: Pertembungan '2 vs 2' bintang tumpuan jadi penarik aksi The Jangs-Gergasi Merah

BACA LAGI: 'Maestro’ sang Badak kelahiran sistem bola sepak FC Porto raih pujian ramai

“Pertama sekali saya rasa sedih walaupun kita semua tahu pihak pengurusan (Kelantan) sebelum ini tidak menunjukkan sikap profesionalisme.

“Bagi saya yang berlalu itu biarkan berlalu sebab saya tetap gembira dengan negeri kelahiran saya.

“Kalau tak ada pasukan Kelantan saya tidak berada di sini (Penang) dan tak ada nama di Malaysia. Itu sahaja yang saya mahu kembali dalam bola sepak Kelantan.

“Saya perlu bersabar sebab biasanya susah benda ini (tunggakan gaji) untuk dapat balik tapi mungkin kalau ada keajaiban dibayar semua tertunggak itu.

“Kalau dia (pemilik) bayar alhamdulillah, kalau dia tak bayar nak buat macam mana. Saya reda.

“Bagi saya tunggakan (gaji) dua bulan tapi belum menerima apa-apa walaupun sudah menghubungi pihak pengurusan yang tidak beri respons,” katanya kepada Majoriti.

Muhaimin sempat mengakui banyak perbezaan yang ada pada pasukan Penang dan akan berusaha sehabis baik untuk menambat hati jurulatih, Akmal Rizal supaya dapat turun beraksi.

“Alhamdulillah keputusan positif dengan Penang seri ketiga-tiga permainan bukan senang sebab kita lawan Sabah FC, Terengganu FC dan PDRM FC bukan satu pasukan yang kecil.

“Semua ini pasukan yang besar, pada saya peluang bermain itu tak dapat lagi dan kita perlu usaha. Insya-ALLAH kalau dapat, saya main sebaik mungkin.

“Bagi saya banyak perbezaan dari segi fasiliti, permainan dan taktikal, kita perlu belajar benda-benda macam ini.

“Sebab saya muda lagi, saya perlu bekerja lebih keras dan tinggi lagi untuk mencari pengalaman sebaik mungkin,” jelasnya lagi.

Musim ini, Muhaimin menyertai Penang selepas dapat panggilan daripada Akmal Rizal yang mahukan beliau bersama Harimau Kumbang musim 2024/25 ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram