Cap jari suspek simbah asid Faisal Halim tidak ada dalam rekod JPN


  • 112
  • Ahad, 26 Mei 2024

Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

SEMAKAN tiga daripada lapan kesan cap jari di lokasi kejadian simbah asid terhadap pemain Harimau Malaya, Faisal Halim di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati tiada sebarang rekod ditemukan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya sudah mendapatkan bantuan jabatan itu bagi membuat semakan terhadap cap jari yang dianalisis pihak forensik.

"Apabila JPN periksa, tiada sebarang rekod dalam sistem. Kemungkinan cap jari ditinggalkan bukan ibu jari. Bagaimanapun, pihak polis giat mencari bukti-bukti bagi siasatan kes terbabit" katanya kepada Harian Metro.

BACA LAGI: Faisal perlu 'environment' baharu untuk proses pemulihan, bantu berjalan semula

BACA LAGI: [VIDEO] Simbah asid Faisal Halim: Polis siasat kaitan 3 lagi serangan

553

Tangkap layar daripada insiden serangan terhadap pemain sayap berkenaan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan hasil analisis mendapati lima daripada lapan cap jari ditemukan di lokasi kejadian, tidak cukup sifat.

Razarudin dilaporkan berkata, baki tiga cap jari lagi tidak mempunyai padanan dalam pangkalan data Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ia berkemungkinan individu berkenaan tidak pernah ditahan polis dan tidak memiliki rekod kesalahan lampau.

Susulan itu, polis mengedarkan fotofit atau lakaran wajah individu disyaki suspek kejadian berkenaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali individu seperti lakaran itu diminta tampil bagi membantu siasatan.

Pada 9 Mei lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata, polis sedang menganalisis cap jari yang ditemukan di lokasi kejadian pemain negara itu disimbah asid.

Mohd Shuhaily berkata, hasil semakan kamera litar tertutup di lokasi kejadian mendapati suspek ada menyentuh beberapa kawasan dan meninggalkan cap jari.

Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya pada 5 Mei lalu. — Harian Metro

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram