SELANGOR FC sedia untuk bertanding di kejohanan jemputan antarabangsa, RCTI Premium Sports bersama-sama Sabah FC dan dua wakil Indonesia, Persija Jakarta dan PSIS Semarang.
Kejohanan empat penjuru melibatkan dua negara itu bakal menyaksikan tawaran hadiah wang tunai lumayan yang bakal dilangsungkan di Stadium Antarabangsa Jakarta, Indonesia dari 30 Mei hingga 2 Jun 2024.
Gergasi Merah dijadualkan bertemu Sabah FC dalam perlawanan pertama pada 30 Mei manakala Persija Jakarta dan PSIS Semarang akan beraksi dalam perlawanan kedua.
Majoriti senaraikan empat pemain muda yang boleh diberikan peluang dalam kejohanan empat penjuru yang akan berlangsung di Indonesia itu.
1. Azhad Harraz (Sabah FC)
Nama pemain muda Sabah FC, Azhad Harraz Arman pernah mencuri tumpuan penyokong selepas pengendali kelab berkenaan, Datuk Ong Kim Swee sanggup turun ke Semporna untuk menawarkan kontrak selama empat tahun kepadanya.
Meskipun kini beraksi bersama Sabah FC Bawah 23 Tahun (B-23) namun pemain berusia 21 tahun itu dijangka mampu menggantikan pemain sayap The Rhinos, Saddil Ramdani.
Ramai penyokong beranggapan bahawa gaya permainan yang ditampilkan oleh Azhad Harraz mempunyai persamaan dengan import Indonesia tersebut.
Walaupun beraksi di posisi yang berbeza namun Azhad Harraz membuktikan bahawa dia prospek muda yang wajar digilap oleh Sabah FC.
Dalam pada itu, boleh dikatakan bahawa Sabah FC sudah pun mempunyai pengganti Saddil pada masa akan datang.
2. Harith Naem Jaineh (Sabah FC)
Harith Naem Jaineh antara nama yang tidak asing dalam kancah bola sepak tanah air, pemain sayap berusia 21 tahun itu sebelum ini pernah berguru dengan Datuk Lim Teong Kim di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) suatu ketika dahulu.
Harith pernah menyarung jersi pasukan Harimau Muda apabila dipilih sebagai pemain kesebelasan utama dalam skuad B-16 negara.
Untuk rekod, Harith dibawa ke AFC Championship 2018 dan Kejuaraan AFF bersama-sama penyerang sensasi, Luqman Hakim. Di AFF B-16, yang mana dia berjaya meledak dua gol sekali gus menjadikan pemain muda itu kini mulai meniti di bibir peminat bola sepak tempatan.
Harry Danish berperanan sebagai penyerang.
3. Harry Danish (Selangor FC)
Harry Danish sudah dinaikkan pangkat beraksi dalam skuad utama Liga Super selepas cemerlang bermain untuk skuad Piala Presiden pada musim lepas.
Untuk info, Harry yang berperanan sebagai penyerang merupakan wira Selangor FC apabila mencetak nama sebagai penjaring tunggal aksi Final 1 Piala Belia ke atas Sri Pahang FC yang berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam pada 2022.
Sebelum ini, Nidzam Jamil pernah memberi ruang buat Harry Danish beraksi bersama skuad utama dalam kejohanan Asia Challenge Cup 2024.
4. Aliff Haiqal Lau (Selangor FC)
Selepas menjaringkan gol ketika menentang Kedah Darul Aman FC tempoh hari, kejohanan empat penjuru merupakan peluang buat Aliff Haiqal untuk menambat hati Nidzam Jamil.
Ini kerana, penglibatan Aliff Haiqal bersama-sama Selangor pada musim lalu dilihat agak terhad terutamanya dengan kehadiran pemain seperti Faisal Halim dan Ayron del Valle membarisi bahagian serangan.
Mungkin, kejohanan di Indonesia boleh dijadikan sebagai waktu untuk Aliff Haiqal mencari lebih banyak minit permainan bagi memastikan perkembangannya tidak terhad sebagai pemain skuad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram