[VIDEO] Lapan pengikut ajaran The Ahmadi terlibat perhimpunan LGBT dilepaskan dengan ikat jamin


  • 112
  • Isnin, 31 Jul 2023

Tangkap layar sekumpulan individu membuat perhimpunan secara haram di Sogo baru-baru ini. — Twitter

SERAMAI lapan individu didakwa terlibat dalam perhimpunan terbuka yang berunsurkan elemen lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT) di ibu negara baru-baru ini, ditangkap sebelum dibebaskan dengan ikat jamin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Shuhaily Mohd Zain berkata, kesemua lapan orang yang ditahan pada Sabtu berumur antara 18 hingga 56 tahun.

“Kami menerima maklumat tentang orang ramai yang berkumpul di situ sambil memegang plakad. Mereka juga membawa poster yang menyatakan menjadi LGBT bukanlah satu jenayah.

"Hasil siasatan mendapati mereka ini ahli The Ahmadi Religion of Peace and Light dan kebanyakan yang ditahan sudah menyertai kumpulan itu hampir dua tahun," katanya pada Isnin.

Ketika ditanya sama ada kumpulan itu adalah sebahagian daripada pemujaan, Shuhaily berkata, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan telah membuka siasatan berhubung perkara itu.

Ujarnya, kesemua suspek direman selama sehari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Kesemua suspek sudah dibebaskan dengan jaminan polis, siasatan masih dijalankan," katanya.

Majoriti sebelum ini melaporkan, tular video memaparkan beberapa individu mengadakan perhimpunan aman LGBT di sebuah kawasan berhadapan pusat beli-belah di ibu negara.

Perhimpunan tersebut difahamkan diadakan sambil dikawal ketat oleh pihak polis yang dilihat berada di kawasan tersebut. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram