Suspek pecah masuk rumah Khuzaimi Piee larikan diri guna MPV putih — Polis Shah Alam


  • 112
  • Khamis, 23 Mei 2024

Keadaan rumah Khuzaimi yang dipercayai dipecah masuk individu tidak dikenali pada Rabu malam.

POLIS mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian pecah rumah melibatkan kediaman bek tengah Selangor FC, Khuzaimi Piee pada Rabu malam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut pukul 11.30 malam.

Menurut beliau, suspek dipercayai menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) warna putih dan melarikan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15R seperti mana ditularkan.

BACA LAGI: Rumah Khuzaimi Piee dipecah masuk, pasport dan Ysuku antara dirembat penjenayah

BACA LAGI: Lebih 2 orang samun Akhyar Rashid — Polis

khuzaimi

Tangkap layar laporan polis yang dibuat Khuzaimi pada Rabu.

"Hasil siasatan mendapati dua individu disyaki terlibat dalam kes ini, dengan ⁠kerugian sekitar RM15,000 termasuk motosikal mangsa yang dilarikan suspek.

"Suspek datang menaiki MPV, sewaktu balik seorang bawa motosikal dan seorang lagi bawa MPV.

"Semasa kejadian mangsa dan ahli keluarga tiada di rumah," katanya kepada Majoriti.

Mohd Iqbal menjelaskan, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai 14 tahun dan hendaklah dikenakan denda.

Ujarnya, polis sedang berusaha keras untuk mengesan dan menangkap suspek dengan kadar segera.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Laymand Rayne di talian 014-6907071," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram