Mula serius laksana reformasi subsidi, ini 3 penentu kejayaan jika kerajaan laksana rasionalisasi RON95


  • Massa
  • Jumaat, 24 Mei 2024

Rasionalisasi terhadap subsidi diesel itu dijangka menjadi satu ujian awal kepada pihak pentadbiran dalam usahanya untuk melaksanakan langkah sama terhadap bahan api RON95. — Gambar hiasan

PADA Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kerajaan bersetuju untuk menjalankan penyasaran subsidi bagi bahan api diesel bermula di Semenanjung Malaysia.

Tanpa mengemukakan tarikh tepat pelaksanaan, Anwar berkata, langkah itu tidak akan melibatkan kawasan di Sabah dan Sarawak.

Bagi mengelakkan sebarang kenaikan drastik dalam kos barangan dan perkhidmatan, Anwar berkata, subsidi diesel akan diperuntukkan kepada peniaga melibatkan 10 kenderaan pengangkutan awam dan 23 kenderaan pengangkutan barang.

BACA LAGI: Selain bekas Pengerusi Bersih, ada 4 nama dicadang isi kekosongan jawatan Pengerusi SPR

BACA LAGI: Dua reformasi pilihan raya lebih mendesak berbanding isu pelantikan ahli, Pengerusi SPR

Mengulas mengenai pengumuman tersebut, Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Apurva Sanghi berkata, langkah itu memberikan gambaran mengenai keseriusan kerajaan untuk melakukan reformasi subsidi di dalam negara.

Malah, beliau berkata, rasionalisasi terhadap subsidi diesel itu juga bakal menjadi satu ujian awal kepada pihak pentadbiran dalam usahanya untuk melaksanakan langkah sama terhadap bahan api RON95, iaitu satu langkah yang dilihat lebih utama dalam usaha reformasi berkenaan.

2558239

Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Apurva Sanghi

Untuk itu, beliau turut menggariskan tiga perkara yang bakal menentukan kejayaan dalam menjalankan rasionalisasi RON95, iaitu bahan api utama digunakan oleh rakyat Malaysia.

Ia meliputi waktu ia dilaksanakan, pengendalian kenaikan harga susulan pelaksanaannya dan usaha meyakinkan masyarakat berpendapatan kelas menengah.

"Reformasi subsidi RON95 boleh membawa kepada kenaikan satu kali dalam paras harga yang boleh meningkat dua kali ganda antara 5 hingga 9 peratus bergantung pada harga tenaga global.

"Jadi pemilihan waktu ia dilaksanakan sangat penting. Laksanakan reformasi RON95 apabila harga bahan api berada di paras agak rendah. Kita juga perlu berdoa agar tiada kejutan inflasi global!" katanya menerusi ciapan di Twitter.

Mengulas lanjut, Apurva berkata, kerajaan juga perlu melihat kepada kesan pelaksanaan tersebut terhadap setiap sektor di dalam negara memandangkan impaknya yang berlainan antara satu sama lain.

Ujarnya, alasan mengenai keperluan reformasi terhadap subsidi RON95 yang dijangka memberi kesan terhadap fabrik sosial di Malaysia itu juga tidak boleh disandarkan semata-mata terhadap keperluan bagi memastikan kemapanan perbelanjaan atau fiskal kerajaan.

Oleh itu, beliau berkata, adalah penting untuk kerajaan mempunyai naratif yang betul khususnya dalam meyakinkan rakyat Malaysia.

"Golongan miskin harus mendapat manfaat (dengan mengandaikan mekanisme peningkatan pemindahan tunai telah disediakan, itu sangat penting)! Orang kaya harus menguruskan perbelanjaan tanpa subsidi, walaupun memang akan ada rungutan!

"Kemudian yang benar-benar terkesan ialah kelas pertengahan yang menggunakan lebih banyak bahan api daripada golongan miskin dan tidak akan menerima pemindahan tunai.

"Jadi gunakan penjimatan subsidi yang berjaya diperolehi untuk membantu mereka atau laksanakan pembaharuan lain yang dapat memberikan impak positif terhadap mereka. Ini akan mampu meyakinkan mereka dan seterusnya memastikan kejayaan keseluruhan reformasi subsidi RON95," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram