[VIDEO] Selain bekas Pengerusi Bersih, ada 4 nama dicadang isi kekosongan jawatan Pengerusi SPR


  • Politik
  • Rabu, 22 Mei 2024

Abdul Ghani (dua dari kanan) melepaskan jawatan sebagai Pengerusi SPR selepas perlu bersara wajib pada Mei.

SEJAK 9 Mei lalu, jawatan bagi Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dikosongkan susulan daripada persaraan penyandangnya iaitu Tan Sri Abdul Ghani Salleh yang bersara wajib selepas mencapai usia 66 tahun.

Sebelum itu, Abdul Ghani menduduki jawatan tersebut selama empat tahun bermula pada Ogos 2020.

Kini selepas hampir dua minggu, teka-teki mengenai individu yang bakal dilantik bagi menggantikannya terus berlarutan.

BACA LAGI: Dua reformasi pilihan raya lebih mendesak berbanding isu pelantikan ahli, Pengerusi SPR

BACA LAGI: 'Tiada keperluan untuk reformasi pelantikan ahli, Pengerusi SPR'

Malah, pihak kerajaan juga dilaporkan masih tidak memberikan sebarang tanda mengenai siapakah calon yang bakal dinamakan untuk memegang jawatan tersebut.

Pada masa sama, beberapa pihak termasuk Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) melahirkan gesaan supaya kekosongan tersebut segera diisi.

Secara tradisinya, jawatan bagi Pengerusi SPR akan dilantik daripada pegawai kanan kerajaan yang sudah bersara.

Bagaimana, amalan tersebut berubah pada September 2018 selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu menamakan, peguam, Tan Sri Azhar Azizan Harun untuk menjawat kedudukan berkenaan bagi menggantikan Tan Sri Mohd Hashim Abdullah yang tamat tempoh perkhidmatan pada 1 Julai 2018.

Bagaimanapun, Azhar kemudiannya membuat keputusan untuk meletakkan jawatan pada 29 Jun 2020 selepas beliau ditawarkan untuk memegang jawatan Yang DiPertua Dewan Rakyat.

Posisi Azhar kemudiannya digantikan oleh Abdul Ghani.

Dengan persoalan mengenai penggantinya belum terjawab, terdapat beberapa nama yang mula dicadangkan untuk dinamakan sebagai Pengerusi SPR.

Antara yang turut tampil memberikan cadangan tersebut ialah bekas Ahli Parlimen Bangi yang juga Bendahari DAP Selangor, Dr Ong Kian Ming.

Dalam satu kenyataan, beliau mencadangkan empat nama yang dilihat boleh untuk menjawat jawatan penting tersebut.

1. Dr Azmi Sharom

Election Commission deputy chairman Dr Azmi Sharom speaking to media at the press conference on state assembly N.58 Slim, Perak by election announcement in Putrajaya. Thursday 23 June 2020MOHD SAHAR MISNI/The Star

Dr Azmi Sharom

Dr Azmi Sharom yang kini memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi SPR dilantik menjawat jawatan tersebut pada 14 Februari 2019.

Sebelum itu, beliau yang memiliki lulusan Ijazah Doktor Falsafah dari University of London bertugas sebagai pensyarah di Profesor Madya Fakulti Undang-undang Universiti Malaya.

Untuk rekod, Azmi pernah menjalankan tugas sebagai Pengerusi SPR buat sementara waktu pada 29 Jun 2020 susulan peletakan jawatan oleh Azhar.

Tempat itu kemudiannya bagaimanapun diisi Abdul Ghani pada Ogos 2020.

2. Dr Mohd Faisal Hazis

Sama seperti Azmi, Dr Mohd Faisal Hazis juga merupakan nama yang datang daripada latar belakang ahli akademik.

Beliau juga dilantik menjadi ahli SPR pada tarikh 14 Februari 2019 bersama-sama tiga lagi individu lain antaranya bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Ramlan Ibrahim dan bekas Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Kementerian Sumber Manusia Datuk Chin Phaik Yoong.

Sebelum itu, beliau memegang jawatan selaku Felo Kanan Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

3. Ambiga Sreenevasan

Dato' Ambiga Sreenevasan asking questions at workshop session of Fighting Corruption in Development and Investment Beyond 2015 in 16th International Anti-Corruption Conference (IACC)  in PICC Putrajaya.-Art Chen/ The Star. 3 September 2015. Reporter : Neville / Nicholas Cheng.

Datuk Ambiga Sreenevasan

Datuk Ambiga Sreenevasan merupakan seorang peguam yang terkenal perjuangannya dalam isu hak asasi manusia.

Pada masa sama, namanya juga mula meningkat naik selepas dipilih untuk menjadi Presiden Majlis Peguam Malaysia dari 2007 hingga 2009.

Pada masa sama, beliau juga sekali lagi menjadi perhatian ketika menjadi pengerusi BERSIH 2.0 melalui penganjuran protes jalanan aman yang diadakan pada 2011 melibatkan ribuan rakyat Malaysia.

4. Dr Wong Chin Huat

Dr Wong Chin Huat merupakan seorang saintis politik yang kini berkhidmat sebagai Profesor di Jeffrey Sachs Center on Sustainable Development (JSC), Sunway University, Malaysia.

Beliau merupakan ahli akademik yang melahirkan sumbangan ilmu dalam pelbagai isu awam termasuk pilihan raya, kebebasan akhbar dan pentadbiran negara.

Memiliki kelulusan ijazah kedoktoran dalam bidang sains politik dari Universiti Essex, England turut pernah menjadi ahli jawatankuasa BERSIH 2.0. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram