'Prasekolah Jepun ajar tanam anak pokok je', pakar pendidikan syor buang istilah STEM


  • Massa
  • Jumaat, 24 Mei 2024

Media tempatan pada April lalu melaporkan semakin ramai pelajar di peringkat sekolah menengah tidak lagi berminat melanjutkan pelajaran dalam sains tulen. — Gambar hiasan

PADA 26 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsikan kebimbangan mengenai kemerosotan minat pelajar di dalam negara terhadap bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).

Dalam ucapannya di Dewan Rakyat, beliau berkata, situasi tersebut sekiranya tidak ditangani berpotensi memberikan kesan buruk terhadap negara termasuk berdepan keadaan kekurangan tenaga mahir termasuk jurutera

Pada masa sama, kebimbangan yang sama turut disuarakan oleh bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom yang menyatakan kekhuatirannya terhadap kemungkinan berlakunya kekurangan pelajar di Institusi pengajian tinggi (IPT) yang mengambil bidang STEM.

BACA LAGI: Selain bekas Pengerusi Bersih, ada 4 nama dicadang isi kekosongan jawatan Pengerusi SPR

BACA LAGI: Dua reformasi pilihan raya lebih mendesak berbanding isu pelantikan ahli, Pengerusi SPR

Ia selepas media tempatan pada April lalu melaporkan semakin ramai pelajar di peringkat sekolah menengah tidak lagi berminat melanjutkan pelajaran dalam sains tulen.

Ini berdasarkan peratusan calon yang mengambil jurusan sains tulen dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikesan terus merosot di bawah 15.2 peratus.

Ekoran daripada situasi itu, pelbagai pihak memberikan cadangan mengenai cara terbaik yang perlu dilakukan bagi menangani isu tersebut.

Antara cadangan yang diutarakan termasuk memperkenalkan subjek tersebut seawal mungkin terhadap murid sekolah bagi membentuk minat pelajar terhadap bidang berkenaan termasuk di peringkat prasekolah

Bagaimanapun, idea tersebut ternyata menimbulkan perdebatan termasuk dalam kalangan ibu bapa berhubung kesesuaian dan keberkesanannya dalam menerapkan minat terhadap subjek tersebut.

photo1716547998

Terdapat pihak mencadangkan agar bidang STEM diperkenalkan seawal peringkat prasekolah. — Gambar hiasan

Mengulas mengenai isu berkenaan, Pensyarah Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Othman Talib berkata, perbincangan mengenai perkara itu dilihat tidak memberikan fokus terhadap isu pokok yang seharusnya ditangani.

Malah ujarnya, penekanan berlebihan terhadap istilah STEM itu juga menyebabkan masyarakat terkeliru daripada masalah sebenar yang membelenggu pelajar di dalam negara.

"Jika buang istilah STEM, selesai masalah. Bila digembar-gemburkan STEM, lalu difikirkan modul STEM prasekolah, supaya minat STEM anak-anak itu bercambah. Nanti masuk sekolah rendah meluap-luap minat STEM sehingga penuh pelajar STEM sampai IPT.

"Ingat ya, sains atau STEM bukan isunya kepada anak-anak ini. Anak-anak prasekolah bukan diajar konsep lagi. Mereka cuma nak diperkenalkan dengan fenomena di sekitar untuk memberikan 'wow' kepada curiosity anak-anak," katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan ditimbulkan ibu bapa berhubung kesesuaian pelaksanaan STEM di peringkat prasekolah.

photo1716547762

Menurut Othman, murid di Jepun diajarkan mengenai cara menanam pokok bagi membangkitkan rasa ingin tahu dalam diri mereka. — Gambar hiasan

Mengulas lanjut, Othman berkata, asas penting yang diperlukan oleh kanak-kanak dalam pembelajaran awal mereka aktiviti praktik atau hands-on yang mampu merangsang rasa ingin tahu dalam diri masing-masing termasuk terhadap fenomena sains.

"Buatlah apa sahaja yang terkait dengan apa-apa fenomena sains terkait persekitaran anak-anak. Buat struktur ringkas, membuat objek, menanam anak benih atau membela anak ayam, ikan dan lain-lain. Asalkan murid seronok dan boleh bertanya," ujarnya.

Dalam menyokong proses pembelajaran tersebut, Othman berkata, adalah penting juga memastikan semua aktiviti dan bahan diperlukan tersedia termasuk rancangan untuk membuat eksplorasi.

"Sekolah mat saleh prasekolah buat cookies sahaja. Tidak ada kecoh pasal STEM. Sekolah Jepun tanam anak pokok sahaja, tiada kelam kabut pasal STEM.

"Bila STEM muncul di Malaysia, kecoh satu buana, nak buat modul STEM prasekolah pula. Macamlah anak-anak itu diajar konsep sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.

"Buat sahaja ikut kreativiti cikgu, banyak bahan rujukan daripada yang asas sampai yang melibatkan subjek kimia. Tak perlulah nak kelam kabut dengan STEM," tegasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram