'Dengar pun dah takut', cadangan pendedahan STEM seawal usia 4 tahun kurang dipersetujui


  • Massa
  • Isnin, 06 Mei 2024

Cadangan pakar untuk mendedahkan bidang STEM dalam kalangan kanak-kanak seawal usia empat tahun menerima pelbagai reaksi dalam kalangan pendidik. — Gambar Hiasan

CADANGAN pakar untuk mendedahkan bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) dalam kalangan kanak-kanak seawal usia empat tahun menerima pelbagai reaksi dalam kalangan pendidik.

Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Zuraidah Abdullah dilaporkan berkata, pendedahan mengenai bidang sains menggunakan bahasa mudah boleh menarik minat mereka di awal persekolahan.

"Tidak seperti sekarang, kanak-kanak mendengar perkataan Matematik, Sains, Biologi, Fizik membuatkan mereka sudah takut.

BACA LAGI: 'Gaji bidang STEM indah khabar dari rupa, baik kerja butik'

"Seawal usia empat tahun, anak perlu diberi pendedahan oleh ibu bapa dalam memastikan mereka berminat bidang STEM, sekarang ini semua pihak perlu memainkan peranan, bukan saja guru di sekolah tetapi ibu bapa juga memainkan peranan penting,"katanya.

Namun, ada segelintir guru yang beranggapan memberi pendedahan yang terlalu awal boleh menyebabkan murid kurang berminat dengan STEM.

Tambahan pula, kanak-kanak seawal usia tersebut tidak perlu dibebankan dengan subjek yang terlalu berat.

Han Chiang High School's robotic booth during the STEM Showcase 2023 at Han Chiang High School in Penang. - LIM BENG TATT/The Star - LIM BENG TATT/The Star

Sekiranya ingin menerapkan STEM dalam kalangan kanak-kanak, KPM perlulah komited dalam membantu guru.— Gambar Hiasan

Menurut seorang guru, Muhd Irfan berkata, memberi cadangan itu memanglah mudah tetapi dari segi pelaksanaan hanya cikgu yang yang rasa.

"Bayangkan kalau pelajar sekolah menengah sendiri pun tidak menunjukkan minat pada subjek STEM apatah lagi kanak-kanak seawal usia itu.

"Kanak-kanak pra sekolah sepatutnya diajar menulis dan bertutur dengan baik terlebih dahulu," katanya.

BACA LAGI: Politik pejabat, jadi 'kambing hitam ' antara sebab Gen-Z, milenial tak minat jawatan pengurus — Kajian

Pendapat Muhd Irfan turut dipersetujui Zulkifli Ahmad.

"Seingat saya, umur empat tahun sepatutnya diajar tentang kosa kata untuk anak-anak boleh membina ayat-ayat ringkas. Kanak-kanak jarang hendak menunjukkan minat dalam bidang STEM kerana terlalu 'berat' bagi mereka.

"Jadi apa motif nak dedahkan awal-awal? Isu pendidikan yang ada sekarang pun tak selesai lagi nak menambah pula masalah lain.," katanya.

Jamilah Faisal pula berpendapat, sekiranya ingin menerapkan STEM dalam kalangan kanak-kanak, Kementerian Pendidikan (KPM) perlulah komited dalam membantu guru.

"KPM perlu tunjukkan komitmen, bantu guru. Harus diingatkan mata pelajaran STEM ini bukanlah mudah.

"Kita juga mengalami masalah kekurangan cikgu. Fasiliti dan kemudahan di sekolah juga ada yang tidak sesuai.

"Bercerita pasal ibu bapa pula, hasrus diingatkan bukan semua pandai dan berpelajaran," katanya.

BACA LAGI: Naikkan juga gaji minimum pekerja belia swasta — Majlis Belia Malaysia

Seorang lagi warga maya, Muslim Ismail pula berkata, memberi pendedahan STEM tanpa mengira peringkat umur itu tidak menjadi masalah tetapi isu pelaksanaan harus diambil kira.

"Tak ada masalah umur berapa pun, yang penting ialah bagaimana ia diterapkan supaya menjadi minat. Mungkin kesilapan kita ialah menjadikan sains terlalu rigid dan skematik," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengakui minat pelajar di negara ini dalam bidang STEM semakin merosot.

Anwar ketika mendedahkan perkara itu dalam Dewan Rakyat berkata, disebabkan itu KPM mengambil beberapa langkah termasuk dengan beberapa kumpulan pendidikan lain bagi menggesa ibu bapa memberikan tumpuan semula kepada Matematik dan Sains.

Menurutnya, Malaysia ketika ini kekurangan jurutera dan menganggap kekurangan itu perlu ditangani segera. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram