'Cukup sekadar ajar asas elemen STEM bersesuaian umur 4 tahun'


  • Massa
  • Isnin, 06 Mei 2024

Pendedahan bidang STEM pada kanak-kanak seawal usia empat tahun menerima pelbagai reaksi. — Gambar hiasan/Agensi

USAHA memberi pendedahan awal pendidikan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) dalam kalangan kanak-kanak seawal usia empat tahun kurang diterima baik terutamanya daripada para pendidik.

Sebelum ini, Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Zuraidah Abdullah mencadangkan anak seawal usia itu perlu diberi pendedahan oleh ibu bapa dalam memastikan mereka berminat bidang STEM.

Katanya, pendedahan mengenai bidang sains menggunakan bahasa mudah boleh menarik minat mereka di awal persekolahan.

BACA LAGI: 'Dengar pun dah takut', cadangan pendedahan STEM seawal usia 4 tahun kurang dipersetujui

BACA LAGI: 'Gaji bidang STEM indah khabar dari rupa, baik kerja butik'

Screenshot (1425)

Pendekatan bidang sains harus diaplikasikan sesuai dengan umur kanak-kanak. — Gambar hiasan/Agensi

Perkara itu bagaimanapun kurang menerima sambutan kerana menganggap ia sukar dilakukan dan terlalu awal.

Ramai di antara guru juga beranggapan kanak-kanak usia tersebut tidak perlu dibebankan dengan subjek yang terlalu berat.

Namun, bekas Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Datuk Dr. Mohamed Saat Ismail berpendapat bahawa pendedahan dalam bidang sains untuk kanak-kanak sebelum memasuki fasa lebih tinggi wajar dilakukan.

Menurutnya, ia merupakan perkara penting yang harus diambil perhatian oleh semua pihak sesuai dengan peredaran zaman kini.

Mohamed Saat berkata, kerajaan juga perlu bertindak melakukan perancangan efektif untuk menghasilkan modul sesuai buat golongan tersebut.

"Bagi saya, memang patut pun bidang sains ini ditonjolkan lebih awal dan Kementerian Pendidikan (KPM) juga perlu memainkan peranan sama.

"Tak perlulah ambil pendekatan terlalu berat pada subjek, cukup ajar asas yang mempunyai elemen-elemen sains sesuai umur mereka," katanya kepada Majoriti.

18556582_793965397395427_74879523765871940_o

Aktiviti STEM yang asas boleh dilakukan kepada kanak-kanak seawal usia itu. — Gambar hiasan/Facebook Taska Cahaya Hazeeq

Katanya, keberkesanan untuk menarik minat kanak-kanak itu dalam bidang sains juga bergantung kepada penerimaan ibu bapa.

"Tidak dinafikan, ramai ibu bapa sekarang yang lebih cenderung menyarankan anak-anak mereka dalam bidang sastera berbanding sains atau kejuruteraan kerana isu-isu gaji dan sebagainya.

"Jika kita nampak ibu bapa tiada semangat untuk mendorong anak mereka ke arah itu kerana seperti tiada masa depan yang cerah.

"Mana tidaknya, mereka lihat pekerja-pekerja dalam sektor sains dan kejuruteraan kebanyakannya dibayar tidak setimpal dengan pencapaian akademik dan hasil kerja," katanya lagi.

Meskipun ia merupakan antara bidang penting dalam memacu kemajuan negara, baginya, pihak kerajaan masih belum mempunyai perancangan utama dan pekerja bidang sains belum cukup diberi penghargaan sehingga sekarang.

Justeru, Mohamed Saat menggesa agar semua pihak terutamanya kerajaan mula memberi perubahan kepada individu yang bekerja dalam bidang berkenaan agar dapat membuka mata ibu bapa tentang betapa pentingnya pendedahan awal diberikan kepada generasi lebih muda. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram