[VIDEO] Cuba serang kanak-kanak, buaya seberat 200 kg ditangkap di Pulau Gaya


  • 112
  • Khamis, 23 Mei 2024

Penduduk menangkap buaya tembaga seberat 200kg selepas dikatakan cuba menyerang seorang budak di Pulau Gaya pada Rabu. — Facebook/

TINDAKAN sekumpulan penduduk kampung bekerjasama menangkap seekor buaya selepas reptilia itu cuba menyerang seorang kanak-kanak di Kampung Lok Baru dekat Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah pada Rabu menerima pujian dalam kalangan warga maya.

Menerusi beberapa video tular yang dikongsikan di laman media sosial memaparkan sekumpulan lelaki menaiki bot menangkap haiwan liar berkenaan.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, reptilia berkenaan dipercayai berkeliaran berdekatan perairan berkenaan sebelum disedari oleh kanak-kanak terbabit.

BACA LAGI: [VIDEO] Dua beradik perempuan hanya mampu menangis lihat ayah lemas dan tenggelam depan mata sendiri di Jawa Timur

BACA LAGI: 'Bukan kehilangan tapi kita memulangkan', isteri reda rangka ditemui milik Muhammad Syafiq

Sementara itu, Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu, Leftenen (PA) Ezra Daniel Gandui berkata, kehadiran buaya itu disedari oleh seorang kanak-kanak yang sedang mandi laut di Kampung Lok Baru.

"Buaya itu dikatakan cuba menyerang kanak-kanak terbabit namun dia sempat menyelamatkan diri naik ke darat dan memaklumkan kepada penduduk kampung.

"Hampir sejam penduduk kampung mencari dan akhirnya buaya itu ditangkap sebelum diserahkan kepada APM," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelas beliau lagi, pihaknya kemudian menerima laporan mengenai kes buaya di kampung berkenaan sebelum lapan anggota termasuk tiga pegawai digerakkan ke lokasi kejadian dadi Menara Penyelamat Pantai (MPP) Tanjung Aru ke Kampung Lok Baru, Pulau Gaya.

“Sebaik tiba di lokasi dimaklumkan, kita mendapati terdapat seekor buaya tembaga berjaya ditangkap oleh penduduk kampung menggunakan kaedah jerut.

“Buaya sepanjang lebih tiga meter dan berat hampir 200-kilogram diikat oleh anggota APM sebelum dibawa ke MPP Tanjung Aru menggunakan bot,” katanya.

Menurutnya, buaya itu tiba di MPP Tanjung Aru, kira-kira pukul 7.05 malam semalam (Rabu) sebelum diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram